Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Tuntutan Bersih sebahagian manifesto PH

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

SURAT | Saya amat bersetuju dengan beberapa tuntutan yang dilaungkan oleh Bersih semasa perarakan menghantar memorandum kepada kerajaan perpaduan di Parlimen.

Refomasi 100 peratus, No DNAA (pelepasan kes mahkamah), mansuhkan Akta Hasutan, penambaikan sistem perundangan melibatkan akta pemberi maklumat dan hadkan dua penggal perdana menteri adalah tuntutan yang berpatutan.

Saya yakin dan percaya kesemua tuntutan itu adalah sebahagian daripada yang pernah dicatatkan dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim sebelum PRU ke-15 dahulu.

Bersih juga adalah antara organisasi yang bersama mempelopori matlamat yang sama.

Hanya mungkin Bersih sedikit terlupa bahawa manifesto tersebut dislogankan oleh parti-parti dalam PH yang dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan UPKO.

Slogan itu tidak diguna pakai malah mungkin tidak dipersetujui oleh Umno/BN, GPS dan GRS ketika itu dan bahkan masa kini.

Jadinya untuk Bersih menuntut Refomasi 100 peratus terhadap janji-janji dalam manifesto PH, sudah tentu agak tidak sesuai dan bertepatan dengan apa yang harus dan mesti 'dilunaskan' dahulu oleh kepimpinan PH berserta dengan gabungan barunya BN, GPS dan GRS buat masa ini.

Mana mungkin janji yang dilafazkan oleh golongan lain dituntut kepada golongan lain walau pun sebahagian daripadanya berasal daripada golongan yang telah berjanji sebelum ini.

Bersih juga amat faham akan kewujudan kerajaan perpaduan dengan komponen daripada PH, BN, GPS dan GRS adalah hasil saranan Agong ketika itu yang mahukan kerajaan ditubuh segera dan kestabilan politik dikembalikan, dengan komposisi yang disepakati bersama dalam kerajaan perpaduan, yang juga dipersetujui bersama.

Saya akui tuntutan 'refomasi 100 peratus' itu adalah amat logik dan berpatutan, namun yang lebih tepat tuntutan tersebut dihalakan kepada PH yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah, walau pun hakikatnya Anwar adalah pemimpin yang mengetuai kerajaan perpaduan buat masa ini.

Dan untuk menuding jadi dan menghalakan tempelakan kepada perdana menteri semata-mata, adalah tidak adil dan agak tidak bersesuaian.

Apa yang dituntut oleh Bersih sebenarnya adalah 'copy paste' daripada apa yang dimatlamat oleh Anwar dan PH, namun ia masih boleh dikategorikan sebagai 'slogan' yang masih belum 'matang' (kalau dikira dari segi tempoh polisi insuran) dan diyakini masih kekal tegar dalam perkiraan dan perhitungan manifesto pimpinan PH dan kerajaan perpaduan ketika ini.

Apa pun natijahnya, tuntutan Bersih bukan sesuatu yang asing atau tersasar daripada matlamat yang dipersetujui bersama, namun dengan berbagai 'kekangan' yang seharusnya difahami bersama oleh Bersih, rakyat yakin perdana menteri juga senada dan selesa dengan apa yang dituntut oleh Bersih dan rakan-rakan yang lain.

Semoga dipermudahkan niat dan matlamat yang baik yang walau pun mungkin masih belum berhasil sepenuhnya.


RAMLI MOHD YUNUS merupakan pembaca Malaysiakini yang tinggal di Alor Setar, Kedah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.