Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Memahami isu Kpg Bunga Raya

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

SURAT | Pertamanya, seluruh lapisan masyarakat menyatakan kesedihan atas nasib yang menimpa penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya Subang kerana petempatan tersebut dirobohkan oleh pihak pemaju.

Namun perobohan tersebut dilakukan setelah proses perbincangan panjang dilakukan bersama beberapa tawaran diberikan sebagai alternatif untuk pertimbangan penduduk kampung tersebut.

Perkara utama yang perlu difahami ialah kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan), PH atau Madani Selangor bukanlah pihak yang bertanggungjawab menyebabkan 90 keluarga terbabit gagal mendapat rumah yang dijanjikan.

Mereka sepatutnya menerima rumah kos rendah Pangsapuri Dahlia di Seksyen U5, Shah Alam sejak 1993.

Isu diwarisi kerajaan negeri

Pemaju projek perumahan tersebut, Tetuan Unique Creations Sdn Bhd (Unique Creations) tidak memiliki sumber kewangan yang kukuh menyebabkan pembinaan Pangsapuri Dahlia terbengkalai.

Projek tersebut diambil alih oleh pemaju penyelamat, ECL Management Sdn Bhd namun malangnya pemaju terbabit juga gagal menyelesaikan hal-hal tanah dan pelan bangunan.

Keadaan lebih membebankan apabila penduduk menandatangani perjanjian jual beli dengan sebahagian daripada mereka membuat pinjaman bank untuk mendapatkan rumah kos rendah berkenaan.

Akibat kecuaian pemaju maka projek tersebut tidak disiapkan dan pada masa sama hutang bank terpaksa ditanggung oleh penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya.

Kerajaan Pakatan mula memerintah pada 2008 dan mewarisi isu tersebut.

Perkara pertama yang dilakukan untuk membantu penduduk terbabit ialah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memohon kerjasama Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) untuk mengambil alih serta memulihkan projek tersebut.

Kerajaan Pakatan juga memberi alternatif kepada penduduk iaitu berpindah ke projek rumah kos rendah Pangsapuri Suria di Seksyen U4, Shah Alam.

Namun kebanyakan penduduk menolak pilihan tersebut kerana melibatkan kos tambahan bagi membatalkan perjanjian jual beli terdahulu dan membuat perjanjian pinjaman baru.

Menurut laporan di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2019, pemilik baru tanah rumah panjang Kampung Bunga Raya Subang yang baru, Dania Emas (M) Sdn Bhd (Dania Emas), telah menawarkan kepada penduduk berkenaan unit kediaman mampu milik di PPRT Lembah Subang.

Bagaimanapun penduduk terbabit menolak tawaran tersebut dan enggan berpindah.

Dapat kebenaran mahkamah

Akibat kegagalan perbincangan tersebut maka Dania Emas membawa perkara tersebut ke mahkamah. Syarikat itu kemudian berjaya mendapatkan perintah mahkamah agar penduduk terbabit mengosongkan kediaman masing-masing.

Kebuntuan berterusan apabila penduduk tetap masih enggan berpindah.

Isu ini akhirnya memuncak dengan peristiwa perobohan rumah penduduk Kampung Bunga Raya Subang pada Feb lalu. Pelbagai pihak cuba menuding jari kepada kerajaan Madani Selangor kerana tidak menghalang perobohan tersebut.

Perkara asas pertama yang perlu difahami ialah proses perobohan tersebut dilakukan dengan kebenaran mahkamah. Mana mungkin kerajaan negeri boleh masuk campur dan menghalang ketetapan mahkamah.

Perkara asas kedua yang perlu diakui ialah tanah yang terlibat merupakan milik pemaju iaitu Dania Emas. Justeru mereka bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu tersebut.

Kerajaan negeri hanya mampu membantu dengan memberikan penyelesaian alternatif kepada masalah tersebut.

Pada masa sama tanggungjawab utama tetap terletak pada pemaju. Justeru tidak masuk akal meletakkan kesalahan atau kegagalan pihak lain di atas pundak kerajaan Selangor.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Selangor,

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.