Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kerajaan harus terbuka, telus dengan media 

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Kebebasan media sebaiknya mesti diamalkan oleh pihak pemerintah dan juga pengamal media, mengikut amalan dan syarat yang ditetapkan oleh peraturan dan undang-undang negara.

Apa pun natijahnya, semua aspek dalam amalan ini, boleh disemak imbang oleh jabatan, agensi dan badan badan yang berkaitan dengan media yang telah sedia ada.

Dan apa pun impak dan implikasinya juga tetap terkawal dengan adanya akta akta dan juga badan seperti Institut Akhbar Malaysia, Persatuan Wartawan dan Majlis Media Malaysia yang bakal ditubuhkan.

Dan untuk mewujudkan pula kod kod tertentu dan dikawal selia oleh Jabatan Penerangan, adalah satu langkah yang agak 'terkebelakang' dan terkeluar dari budaya 'civil society' yang mahu diamalkan oleh kerajaan.

Dan sebagai sebagai sebuah kerajaan yang berpaksikan 'reforms' dalam situasi mendepani isu isu media, tindakan seperti sekatan dan berlakunya media media terpilih semasa sesuatu majlis dan sidang akhbar rasmi kerajaan, adalah agak songsang dan dangkal.

Saya amat yakin dan pasti perdana menteri dan DYMM Yang di-Pertuan Agung sendiri, tidak setuju dengan had dan sekatan tertentu di majlis-majlis kedua-dua tokoh negara itu diadakan.

Dengan segala macam akta dan undang-undang yang sedia ada, pihak kerajaan seharusnya mengamalkan sikap terbuka dan telus dengan media dalam negara ini.

Janganlah pula nanti kerajaan yang selama ini kerap melaungkan sikap keterbukaan dalam semua aspek urustadbir negara, mencemarkan sendiri matlamat dan slogan yang telah diperakui bersama oleh rakyat dan parti pemerintah.

Amalkanlah budaya 'walk the talk' dan 'practice what we preach' dalam Kerajaan Perpaduan ini.


RAMLI MOHD YUNUS ialah pembaca Malaysiakini dari Alor Setar, Kedah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.