Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Usah jadikan Kementerian Pelancongan seperti syarikat keluarga

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

SURAT | Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ingin menggesa perdana menteri mengambil peduli isu-isu memalukan yang berlaku dalam Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang tular sejak isu pemecatan ketua pengarah penggalak pelancongan baru-baru ini.

Malah masalah Kementerian tersebut juga tercalar akibat campur tangan menteri berkenaan terhadap tugas pegawai imigresen di KLIA yang menghalang kemasukan seorang wanita  China tidak lama dulu.

Di mana tatakelola yang sentiasa diuar-uarkan dan ditekankan oleh perdana menteri setiap kali berucap di majlis-majlis rasmi kerajaan dan dalam program-program parti politik?

Sudah sampai masanya menteri itu, yang beberapa kali mencetuskan kemarahan rakyat, dipecat atau ditukarkan ke kementerian lain.

Perkasa mahu mana-mana pihak yang terjejas dan tidak puas hati dengan menteri terbabit perlu berani ke depan untuk ambil tindakan undang-undang atau laporkan secara rasmi kepada pihak yang berkenaan. 

Perkasa menerima khabar dari orang terdekat dengan mantan ketua pengarah agensi kementerian tersebut Ammar Abd Ghapar bahawa dia telah mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan selanjutnya bagi mendapat haknya kembali.

Perkasa akan memberi sokongan dan bantuan apa sahaja kepada Ammar sehingga beliau mendapat keadilan sepenuhnya.

Perkasa juga mohon ketua setiausaha negara dan ketua setiausaha kementerian berkenaan membela pegawai-pegawai  kementerian atau agensi kementerian yang bermasalah dengan menteri, untuk mendapat keadilan demi pegawai itu mendapat hak mereka.

Negara ini ada undang-undang dan peraturan-peraturannya dan siapa sahaja waima menteri sekali pun perlu akur. 

Jangan jadikan kementerian seperti syarikat keluarga.


SYED HASSAN SYED ALI ialah presiden Perkasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.