Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | RUU pinda enakmen Islam Selangor jadi bukti

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

SURAT | Biro Hal Ehwal Syariah Amanah Selangor merakamkan kesyukuran kepada Ilahi dan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2024 oleh exco Mohammad Fahmi Ngah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayan Inovasi Selangor itu membentang RUU tersebut di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 7 Mac lalu dan mendapat persetujuan sebulat suara semua Adun pada sesi tersebut.

Kami percaya melalui pindaan tiga seksyen dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 itu pengurusan, pentadbiran dan kuasa mahkamah syariah di negeri ini akan menjadi semakin baik, efisien dan efektif.

Pindaan tersebut meliputi seksyen 75 (berkenaan pengurusan perintah/tindakan bersaling bagi mahkamah syariah di negeri-negeri), seksyen 78 (pelantikan timbalan pendakwa syarie) dan seksyen 118 (pengurusan pentauliahan mengajar Islam).

Pembentangan RUU itu juga menyentuh cadangan peruntukan baru dalam enakmen iaitu Bahagian XA bermula seksyen 121A hingga 121F berkenaan “pengurusan halal”.

Peruntukan baru tersebut menjelaskan peranan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebagai pihak berkuasa agama yang berwibawa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

Pindaan ini juga selaras dengan peranan pihak Mais sebagai pihak berkuasa agama di Selangor yang bertanggungjawab dalam membantu dan menasihati sultan berkenaan semua perkara yang berhubungan dengan Islam, kecuali hukum syarak dan pentadbiran keadilan sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Perkembangan yang positif ini adalah bukti Islam dan perundangan syariah kekal terpelihara di bawah naungan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan sentiasa dijaga dengan baik oleh kerajaan negeri pimpinan Amirudin Shari.

Ini seiring dengan hasrat yang telah dipasakkan oleh kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, diikuti semua negeri di bawah pimpinan kerjasama PH, BN, dan gabungan lain agar terus menjadi tonggak kekuatan Islam dan ummah.

Ia sekali gus menempelak tuduhan PN kononnya kerajaan perpaduan gagal menjaga kebajikan dan kusucian agama Islam.

Biro Hal Ehwal Syariah Amanah Selangor sangat yakin terhadap komitmen Amirudin selaku menteri besar serta kepimpinan kerajaan perpaduan negeri dalam memastikan syariah, syiar dan perkembangan Islam akan terus bersemarak dibawah naungan Sultan Selangor.

Usaha-usaha murni sebegini dibuat semata-mata untuk kepentingan Islam dan ummahnya, bukan atas pertimbangan politik.

Ia mesti disokong oleh seluruh parti dan kepimpinan politik dalam Selangor.

Justeru tidak wajar ada pihak yang meragui usaha baik kerajaan Selangor ini.


AZRULHAKIM SURADI ialah Pengarah Biro Hal Ehwal Syariah Amanah Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.