Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kritik Gunasegaram terhadap Saifuddin terkait politik

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

SURAT | Membaca kritikan P Gunasegaram terhadap Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution "Why Saifuddin is unfit to be home minister" hanya menyerlahkan ceteknya Gunasegaram dalam memahami cadangan Pindaan Perlembagaan kewarganegaraan.

Perkara tentang warganegara diletak dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ada tiga cara iaitu secara kuatkuasa undang-undang, secara pendaftaran dan secara naturalisasi.

Kesemua tiga cara tersebut masih ada proses dan mekanisme yang wajib dipenuhi. Hal ini disebut dalam peraturan, kaedah dan 14 akta lain yang berkaitan dan berkuatkuasa.

Gunasegaram juga gagal menyebut walau satu ayat pun bahawa Saifuddin telah memberi kelulusan kepada 12 ribu permohonan dalam setahun menjawat jawatan.

Paling banyak berbanding semua Menteri Dalam Negeri dalam sejarah Malaysia. Semua ini dalam tempoh setahun. Fakta ini tiada nilai di sisi Gunasegaram

Majoriti kelulusan adalah di bawah 15A iaitu permohonan anak tidak sah taraf, anak angkat dan anak di bawah jagaan. Anak bawah jagaan termasuklah anak terdampar atau
'foundling baby' yang dituduh Gunasegaram dan pihak lain sebagai dinafi hak oleh Saifuddin untuk menjadi warganegara.

Kenapa had umur diletak 18 tahun? Jawabnya mudah. Hal ini merujuk kepada kes anak-anak yang dilahir di luar negara yang akan mendapat warganegara secara kuatkuasa undang-undang apabila dimasukkan perkataan ibu atau bapa atau kedua-duanya dalam pindaan yang dicadangkan.

Rujuk kes Suriani Kempe. Anak ini nanti akan mendapat warganegara mengikut ibunya.

Pada masa sama anak ini juga adalah warganegara mengikut bapanya. Bermakna anak ini ada dua warganegara.

Sedangkan Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf dua warganegara. Maka dicadangkan pada umur 18 tahun anak ini boleh memilih salah satu warganegaranya.

Warganegara Malaysia mengikut ibu atau menjadi warganegara asing mengikut bapa.

Perkara semudah ini pun gagal Gunasegaram fahami dek kerana kebencian terhadap Saifuddin, bahawa pada umur 18 tahun anak ini boleh membuat keputusan memilih satu warganegara bukan memohon warganegara.

Kenapa dipinda melucutkan kerakyatan pada isteri warga asing selepas dua tahun mendapat warganegara?

Peruntukan asal adalah melucut warganegara isteri warga asing yang berkahwin lelaki tempatan setelah dua tahun berkahwin.

Ada beza setelah dua tahun berkahwin atau setelah dua tahun mendapat warganegara.

Ini adalah keadaan di mana berlaku “marriage of convenience”. Isteri berumur 23 tahun berkahwin suami berumur 80 tahun.

Setelah mendapat warganegara isteri pun minta cerai. Pindaan melucut warganegara adalah dalam kes-kes seperti ini.

Warganegara suatu yang tinggi nilainya bukan untuk dipermainkan.

Satu lagi hujah ialah dalam keadaan sekarang isteri warga asing memang tidak akan mendapat status warganegara setelah dua tahun perkahwinan.

Dia akan bermula dengan mendapat Pas Pasangan selama lima tahun, diikuti mendapat Kad Pengenalan merah untuk 7 tahun sebelum boleh memohon menjadi warga negara selepas itu.

Maka, pindaan ini dibuat untuk membetulkan peruntukan ini dengan pelucutan warganegara setelah dua tahun mendapat warganegara berbanding dua tahun selepas perkahwinan.

Pelucutan warganegara sememangnya sudahpun wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan suatu yang baharu diperkenal oleh Saifuddin.

Mengulas pindaan 19B suka saya menarik perhatian Gunasegaram.

Rukun asas kepada mendapat warganegara ialah status perkahwinan ibubapa dan warganegara ibubapa.

Ini bertujuan meletakkan nilai tinggi terhadap status warganegara.

Anak-anak terdampar boleh mendapat warganegara setelah permohonan yang dibuat oleh pihak yang menjumpainya lengkap laporan polis, laporan hospital dan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Saya kira ini adil. Mesti ada elemen siasatan dan pengesahan.

Negara kita sekarang ikut didiami oleh empat juta warga asing. Mereka juga ada nafsu.

Jika berlaku hubungan terlarang dan anak dilahirkan dan dibuang, Gunasegaram mahu anak ini terus menjadi warganegara tanpa siasatan? Tanpa pengesahan?

Bukankah lebih baik diubah kepada pihak yang menjumpainya memohon secara pendaftaran kerana ini lebih tertib.

Anak terdampar ini masih boleh menjadi warganegara melalui 15A dan bukan melalui 19B.

Kritik Gunasegaram terhadap Saifuddin terkait politik saya tidak berminat memberi komen. Saya hanya mengenal Saifuddin dari jauh.

Namun, sebagai Menteri Dalam Negeri, saya harus jujur mengakui dia seorang yang berperikemanusiaan. Dalilnya 12 ribu kelulusan dalam setahun.

Dan ini memberi kegembiraan kepada 12 ribu anak-anak yang menunggu bertahun-tahun lamanya. Yang gelisah hanya orang seperti Gunasegaram.


ISKANDAR ZULKARNAIN adalah pembaca Malaysiakini dari Pokok Sena, Kedah

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.