Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Henti manipulasi beras import dicampur beras tempatan

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Kesukaran mendapatkan beras tempatan di pasaran menunjukkan seolah-olah para pesawah langsung tidak menuai, walhal statistik menunjukkan pengeluaran beras tempatan konsisten berada di paras 60 peratus berbanding 40 peratus beras import. Ini sekali gus memberi tanggapan negatif terhadap pesawah yang merupakan kumpulan terpenting dan tulang belakang kepada keselamatan makanan negara.

Justeru, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu segera mengatasi masalah ini dengan mewujudkan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang efektif atau memainkan peranan sepenuhnya dalam menguruskan hal berkaitan beras terutamanya di peringkat pengilangan.

Manipulasi biasa berlaku pada peringkat awal ini apabila pihak yang tidak bertanggungjawab mencampurkan beras tempatan dan import seterusnya menjualnya pada harga beras import bagi mengaut untung.

Adalah diingatkan bahawa kerajaan hendaklah bertindak cepat, dan tidak lagi berlengah-lengah. Kita tidak mahu rakyat melihat kerajaan tidak serius dalam menangani isu penting membabitkan makanan ruji rakyat.

Sementara cadangan Ketua Kluster Task Force Pemantauan Kluster Makanan NACCOL Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal untuk menaikkan harga lantai belian padi dan memberikan subsidi tambahan kepada pesawah dalam mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 20 Mac ini, wajar diteliti secara menyeluruh agar matlamat untuk membantu pesawah tercapai.

Kita tidak mahu apa yang diperkatakan sekadar menjadi kosmetik yang cantik pada luaran semata-mata, sebaliknya tidak memberi manfaat kepada kumpulan sasar sebagaimana yang diharapkan. Amat penting, setiap dasar yang hendak diperkenal atau dilaksanakan itu mengambil kira pandangan dan libat urus pelbagai pihak termasuk pesawah serta pemain industri.


TAN CHEE HIONG ialah Pengerusi MCA Bahagian Alor Setar

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.