Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | K'jaan tetap perakui kebebasan bersuara

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

SURAT | Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan selesai merakamkan keterangan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Teo Kok Seong susulan kenyataannya berkaitan sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Teo mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan tersebut mendapat kritikan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menuduh Teo diugut dan digertak oleh segelintir ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Dakwa ketua Pemuda Bersatu itu, ugutan tersebut berpanjangan dengan membawa kepada siasatan oleh PDRM.

Sememangnya Teo bercakap berkenaan kepentingan perpaduan berlandaskan sistem sekolah satu aliran melebihi tempoh 20 tahun, namun idea tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Dis 2021 memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Malah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan bahawa sekolah vernakular di Malaysia mengikut silibus pembelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Apa yang membezakan sekolah itu ialah penggunaan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar.

Biarkan proses berjalan seadanya

Perbezaan pendapat berkenaan sekolah sebagai platform perpaduan mencetuskan polemik penghapusan sekolah vernakular oleh Teo.

Sememangnya dia mengeluarkan kenyataan tersebut berdasarkan pengalaman yang sudah lebih 20 tahun terbabit dalam dunia akademik.

Namun kenyataan ahli akademik itu dikeluarkan melalui platform media sosial dan disiarkan sebuah portal berita.

Jika kenyataan tersebut dilakukan dalam kawasan kampus universiti maka keadaan akan menjadi berlainan kerana ia dianggap sebagai sebuah wacana akademik yang dilindungi oleh Akta Universiti Dan Kolej Universiti.

Tambahan pula pihak PDRM terpaksa melakukan siasatan kerana ada laporan polis yang dibuat terhadap kenyataan tersebut.

Mengikut Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah, apabila pengaduan dibuat kepada seorang ketua polis balai maka siasatan awal perlu dilakukan dengan merakam percakapan.

Kerajaan Madani melalui PDRM dalam isu ini tidak berniat untuk menghalang kebebasan akademik mana-mana pihak terutama ahli akademik ulung seperti Teo.

Namun PDRM terikat dengan undang-undang yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Tiada apa yang mampu mengatasi Perlembagaan Persekutuan dalam isu ini.

Justeru siasatan perlu dilakukan dengan merakamkan keterangan Teo.

Menjadi kesalahan kepada PDRM jika siasatan tidak dilakukan kerana aduan telah dibuat oleh masyarakat awam.

Namun seperti yang dinyatakan oleh peguam yang mewakili Teo, dia telah mengemukakan bukti kajian untuk menjustifikasikan kenyataan yang dibuatnya.

Segala bukti tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan.

Sekiranya terbukti Teo bercakap berdasarkan hujah akademik, maka ia tidak akan dilanjutkan ke peringkat pertuduhan.

Kita sebagai pendukung kerajaan perlu membiarkan proses siasatan tersebut berjalan seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.