Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Ikram kutuk serangan ganas di Moscow

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengutuk serangan ganas ke atas Dewan Bandar Raya Crocus, Moscow pada Jumaat, 22 Mac, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 60 maut dan lebih 145 mangsa cedera.

Ikram menzahirkan simpati dan mengucapkan takziah kepada Kerajaan Persekutuan Rusia serta keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan itu.

Islam amat menitikberatkan dan memupuk kasih sayang sesama manusia dan melarang sebarang bentuk kekerasan, keganasan dan penindasan yang jelas menyimpang daripada ajaran Tuhan.

“Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” (Al-Maaidah 5:32)

Oleh itu, Ikram berharap individu-individu atau kumpulan bertanggungjawab bagi keganasan ini dibawa ke muka pengadilan.

Keganasan terhadap mana-mana agama dan mereka yang tidak berdosa mesti ditentang, dan kehidupan yang aman harmoni perlu dikekalkan.


BADLISHAH SHAM BAHARIN ialah presiden Pertubuhan Ikram Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.