Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Harap KDN jawab dakwaan ‘layanan istimewa’ pada Najib

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Isu dakwaan banduan diberikan 'layanan istimewa' dalam penjara sudah kerap kali ditimbulkan oleh masyarakat dalam negara ini.

Ini bukan isu baru dalam negara, malah pernah juga didedahkan banduan yang boleh berulang alik ke rumah dan pejabat suatu ketika dulu.

Dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak mendapat 'layanan istimewa' juga bukan cerita baru walaupun tidak ada, pihak sama ada pihak jabatan penjara atau agensi lain, yang ada mengesahkan atau pun menidakkan.

Hanya yang biasa kita dengar hanyalah “wabak sindrom penafian tahap empat” dari berbagai pihak yang sememangnya sudah lama menjadi gaya hidup pemimpin politik dan orang orang berkuasa dari pihak pemerintah di Malaysia ini.

Tapi cerita yang ini bukan dari orang biasa, tapi dari bekas banduan sendiri.

Saudara Wan Ji Wan Hussin adalah bekas banduan yang baru saja dibebaskan selepas dipenjara beberapa bulan, atas sabitan kes yang melibatkan raja-raja Melayu.

Wan Ji adalah seorang penulis buku, ahli politik dan pernah jadi penasihat ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Wan Ji Wan Hussin

Maka sudah tentu apa yang diperkatakan dan diperakui oleh Wan Ji mengenai bekas PM Najib mendapat 'layanan istimewa' itu bukan sekadar bualan kosong di kalangan masyarakat. 

Sudah tentu ada asasnya terutama apabila ia dari pemerhatian dan pengesahan Wan Ji sendiri, yang juga seorang banduan ketika itu.

Malah beliau dengan tegas berani menggunakan ayat “layanan amat istimewa” diberikan kepada seorang banduan yang sebelumnya adalah seorang perdana menteri, yang dipenjarakan akibat dari kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Amat diharapkan agar pihak KDN, terutama pihak Jabatan Penjara dapat memberi penjelasan tegas dan berfakta berhubung dengan dakwaan seperti ini.


RAMLI MOHD YUNUS ialah pembaca Malaysiakini dari Alor Setar, Kedah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.