Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Menjawab kecelaruan Wee Ka Siong

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

SURAT | Kerajaan Madani mengambil langkah yang berani apabila memperkenalkan sistem Pangkalan Data Utama (Padu). Ia merupakan sistem pertama seumpamanya pernah diperkenalkan kerajaan Malaysia.

Sebelum ini data penduduk Malaysia disimpan secara berasingan sama ada oleh agensi peringkat persekutuan atau negeri.

Ia ini menyukarkan kerajaan untuk mengenal pasti secara tepat status sosioekonomi penduduk Malaysia.

Ketiadaan sebuah pengkalan data utama yang merangkumi semua maklumat rakyat Malaysia juga menyukarkan kerajaan mengawal penyaluran subsidi secara tepat, seterusnya mengawal kadar hutang negara setiap tahun.

Malaysia bukanlah negara pertama yang memperkenalkan sistem seumpama Padu. Beberapa negara lain lebih awal meneroka kaedah yang menghampiri Padi.

Keselamatan Padu dijamin oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli kerana ia diselenggara sepenuhnya oleh Jabatan Digital Negara (JDN). Jika berlaku sebarang perkara tidak diingini Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber Sektor Awam (CSIRT) bersiap siaga melaksanakan prosedur yang sepatutnya.

Wujud tuduhan Presiden MCA, Wee Ka Siong, bahawa Rafizi tidak mengakui kesangsian rakyat Malaysia terhadap isu keselamatan dan kerahsiaan maklumat dalam Padu.

Kementerian Ekonomi tidak pernah menafikan kesangsian tersebut menjadi penghalang kepada sesetengah rakyat Malaysia untuk mendaftar dalam Padu. Kesedaran menteri menyebabkan dia berulang kali memberi jaminan diikuti Kementerian Komunikasi.

Taklimat berkenaan isu itu terpaksa diulang berkali-kali kerana ada sesetengah pemimpin dalam kerajaan sendiri yang mengungkit-ungkit isu keselamatan dan kerahsiaan.

Rafizi mendedahkan wujud lebih dua juta cubaan menembusi benteng keselamatan Padu setiap hari. Bagaimanapun setakat ini semuanya gagal kerana ciri keselamatan sistem berkenaan mematuhi piawaian global, termasuk bagi komponen keselamatan rangkaian.

Malah jika ada pihak yang berjaya mendapatkan data dari Padu sekali pun, ia tidak bermakna kerana telah melalui proses encryption.

Wee turut mempersoal kewajaran Padu kerana berpendapat sistem e-Kasih boleh ditambah baik. Malah dia menyatakan sangat bahaya meletakkan semua maklumat dalam satu sistem.

Bagi Wee, lebih baik maklumat rakyat Malaysia dikendalikan dalam keadaan semasa iaitu berselerak dalam pangkalan data persekutuan dan negeri.

Kedangkalan pemikiran itu menyebabkan kerajaan gagal menguruskan sumber negara dengan sebaik mungkin. Padu adalah tulang belakang kepada pelaksanaan Government Technology (Govtech).

Melalui penyatuan keseluruhan maklumat rakyat Malaysia dalam satu pangkalan data maka urusan pendigitalan kerajaan menjadi lebih cekap, mudah dan canggih.

Dalam bukunya, SCRIPT, Anwar menyatakan bahawa dia percaya bagi memastikan kerajaan berjaya melalui zaman pascapandemik, pentadbiran semasa tidak boleh mengamalkan dasar business as usual.

Pentadbiran pada zaman Madani perlu berbeza dari segi aplikasi digital, justeru pengenalan Padu adalah usaha ke arah pentadbiran yang berbeza dan jauh lebih efisyen.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.