Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Masa untuk boikot dadah, ketum pula

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

SURAT | Sebelum anda membaca tulisan ini lebih lanjut, biar saya tegaskan bahawa pandangan ini tidaklah bermaksud kita perlu menolak perjuangan pembebasan Palestin daripada kekejaman Israel.

Usaha memboikot produk tertentu yang dikatakan ada kaitan dengan negara haram itu wajar diberi pujian, namun pada masa sama, biarlah berpada-pada dan dilakukan dengan ilmu.

Jika disorot kembali ini bukanlah kali pertama kempen boikot digerakkan sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang ditindas secara berterusan sejak sekian lama.

Kira-kira 10 tahun lalu beberapa rangkaian restoran sama juga pernah berhadapan dengan kempen boikot namun ia tidak berpanjangan.

Jika dibandingkan dengan situasi sekarang, boleh dikatakan kempen kali ini paling berjaya. Namun malangnya 'kejayaan' tersebut dibayangi pula dengan tindakan melampau malah melibatkan unsur jenayah.

Sementara itu media sosial pula menyaksikan reaksi yang tidak kurang melampaunya apabila ada pihak menyamakan individu yang berkunjung ke restoran tertentu sebagai anjing atau babi.

Situasi seperti itu tentulah tidak sepatutnya berlaku sama ada dilihat dari sudut kemanusiaan atau agama.

Pihak yang membantah itu barangkali lupa ada antara pengunjung restoran yang mereka hina dan keji itu adalah saudara seagama.

Sebenarnya langkah menyahut kempen boikot ini perlu dibuat dengan berhemah dan bukannya bersandar kepada faktor emosi.

Setiap orang ada alasannya dan setiap daripada kita perlu menghormatinya.

Kempen boikot terkini menunjukkan sebahagian rakyat Malaysia memang bersemangat tinggi, justeru ia berpanjangan hingga kini.

Cuma semangat tersebut seperti disia-siakan kerana tumpuan hanya diberikan kepada sektor makanan yang umum, tetapi tidak diendahkan jika ia melibatkan benda yang sudah jelas haramnya seperti dadah dan ketum.

Lihat saja kejadian di Kuantan seperti yang dilaporkan media massa. Individu yang ditahan polis kerana mengugut pelanggan sebuah restoran yang diboikot memiliki rekod berkaitan dadah.

Punyalah tinggi semangat mereka hingga sanggup membuat ugutan jenayah sedangkan ia menyalahi undang-undang. Bukan saja perbuatan mengugut itu salah, bahkan sebelum bertindak melulu mereka sudah sedia melanggar peraturan dengan mengambil bahan terlarang.

Majoriti kaum yang menyalahgunakan dadah dan ketum ini juga terdiri daripada anak-anak Melayu.

Sudah lama negara kita berhadapan dengan masalah salah guna dadah dan ketum sehingga ia kelihatan seolah-olah tidak akan pernah selesai.

Hal itu kerana permintaan sentiasa ada dan mereka yang mengambilnya tidak pula mahu memboikot atau semangatnya tidak cukup kuat ke arah itu.

Bayangkan jika semangat kempen boikot produk Israel itu diterapkan bagi memboikot dadah atau ketum, secara logiknya tentu negara ini telah bebas daripada masalah tersebut.

Justeru itu, penulis menyeru rakyat Malaysia terutama yang bersemangat memboikot agar menolak secara total dadah, ketum atau benda haram lain yang memudaratkan.

Tolak juga anasir-anasir yang mahu memecah-belahkan keharmonian pelbagai kaum dan agama yang telah lama kita nikmati di negara ini.

Ayuh kita bina generasi rakyat Malaysia yang sihat dan bebas daripada sebarang pengaruh negatif serta bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama.


TAN YUSOF ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.