Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Tanggungjawab ibu bapa pupuk minat membaca anak-anak

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Laporan dari semua kajian mendapati bahawa budaya dan tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia masih rendah. 

Laporan terkini 2024 Bank Dunia bertajuk, “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills” memaparkan keadaan yang membimbangkan tentang sistem pendidikan Malaysia. 

Laporan yang sama mendapati hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca menjelang akhir Darjah 5.  

Situasi ini jauh lebih teruk daripada negara-negara jiran serantau.  

Walaupun perbelanjaan untuk pendidikan adalah tinggi (3.2 peratus dari GDP), hasil pembelajaran atau prestasi pelajar jauh ketinggalan berbanding jangkaan. 

Realitinya ialah, kebanyakan murid hanya membaca untuk mendapatkan maklumat atau faktor yang diperlukan untuk lulus peperiksaan sahaja. 

Terdapat petikan terkenal yang sering dikaitkan dengan Alvin Toffler, seorang penulis terkenal yang mengatakan bahawa: 

"Buta huruf abad ke-21 bukanlah mereka yang tidak boleh membaca atau menulis, tetapi mereka yang tidak boleh belajar, tidak belajar, dan belajar semula."

Marcus Tullius Cicero, seorang ahli falsafah  pernah berkata,"Bilik tanpa buku umpama jasad tanpa jiwa." 

Membaca pemangkin kemajuan bangsa adalah konsep yang disokong oleh ibu bapa, guru-guru, ahli-ahli akademik dan pelajar secara keseluruhan.  

Pada 23 April, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Penampang yang diketuai oleh Veronica Vivian Estrop bersama dengan rakan-rakan sekerja yang dynamik menganjurkan 'Program Jom Baca Bersama 10 Minit'.  

Program ini adalah inisiatif ke arah membentuk masyarakat minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat. 

Selain 'Program Jom Baca Bersama 10 Minit', aktiviti dalam atur cara termasuk, forum, tayangan video jom baca, perkongsian tokoh nilam, penyampaian cenderahati dan diakhiri dengan jamuan tengah hari.    

Anisah Amid, moderator yang berwibawa untuk Forum bertajuk Peranan Ibu Bapa Terhadap Anak-Anak Dalam Memupuk Minat Membaca, berkata:

“Budaya membaca wajar dijadikan sebagai satu gaya hidup dalam masyarakat madani kerana amalan itu adalah pemangkin kemajuan bangsa dan negara.

“Dengan adanya masyarakat yang berbudaya membaca, negara kita akan mewujudkan rakyat yang proaktif, produktif, kreatif, berinovasi dan berkebolehan berfikiran waras,” ulasnya.

"Bukan sekadar program ini sahaja, tetapi ada program lain yang berskala besar, sederhana dan kecil yang diharapkan dapat melahirkan kebijaksanaan dalam kehidupan masyarakat Malaysia," katanya.

Anisah, seorang guru perpustakaan dan media dari Sekolah Menengah Limbanak, Penampang mengemukakan soalan-soalan yang cemerlang kepada tiga ahli-ahli panel forum tersebut. Mereka terdiri daripada Mary Clare Joiwin, bekas pustakawan, Helmi Ragas, wakil ibu dan Erik Rayman, wakil bapa.    

Kesemua ahli-ahli panel bersetuju bahawa kuasa dorongan ibu bapa di rumah penting dalam memupuk amalan membaca kalangan generasi muda kini. 

Perpustakaan boleh memainkan peranan penting untuk memupuk minat membaca dalam sesuatu masyarakat. 

“Budaya membaca tidak terhad kepada sekolah, institusi atau mana-mana jabatan sahaja, malah perlu dipupuk dari awal oleh ibu bapa di rumah supaya mereka menjadikan membaca sebagai tabiat,” kata Helmi.

Mary pula turut menyeru masyarakat mengambil peluang dalam era digital kini untuk meningkatkan pembacaan dalam kehidupan.

Erik menggunakan strategi yang berbeza. 

Dia memberikan intensif kepada anak-anaknya jika mereka menunjukkan minat membaca di perpustakaan negeri. 

Misalnya, Erik akan belanja anak-anaknya dengan ais krim. 

“Apa pula insentif anda?” soal Erik.

Turut hadir, Rahimah Nuin, penolong pegawai pendidikan daerah Penampang dan Alicia Nicolete Chew Mailap, wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Penampang.   


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!