Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Tahniah buat Sultan Perak atas pelantikan sebagai pengerusi MKI

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Al-Maghfur-Lah atas pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 9 Mac 2024 hingga 8 Mac 2026.

Pelantikan Baginda diperkenan pada Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) Kali Ke-265, menggantikan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun.

Ikram menjunjung kasih atas segala jasa dan khidmat bakti Baginda Sultan Selangor yang cemerlang sebagai Pengerusi MKI bagi membincang dan memutuskan perkara-perkara berkaitan aspek pengurusan hal ehwal Islam, perundangan Islam dan pendidikan agama Islam.

Antara sumbangan Baginda semasa menerajui MKI ialah penstrukturan baharu MKI, penubuhan lima jawatankuasa di bawah MKI, menyelesaikan beberapa isu besar yang berbangkit dalam kalangan umat Islam secara tuntas dan harmoni, seperti isu kalimah Allah dan cetusan idea penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Sehubungan itu, Ikram mendoakan agar Allah SWT memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada Pengerusi MKI baharu, DYMM Sultan Nazrin Muizuddin Shah untuk menjalankan tugas ini dengan cemerlang, insya-Allah.


BADLISHAH SHAM BAHARIN ialah presiden Pertubuhan Ikram Malaysia.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!