Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Menjadi sekutu kebebasan media

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

SURAT | Ketika dunia menyambut Hari Kebebasan Akhbar pada tahun 2024, Gerakan Media Merdeka (Geramm) jeda sejenak untuk merenung cabaran berterusan yang dihadapi pengamal media di Malaysia.

Meskipun landskap industri media berkembang hasil benturan ekonomi yang berterusan serta campur tangan politik, seruan tegas diperlukan agar semua pihak dapat memberi sokongan untuk memelihara integriti media di negara ini.

Ketidakpastian ekonomi terus membayangi landskap media dengan penutupan dan pengecilan organisasi media dilihat sebagai satu perkara biasa, dan situasi ini amat menyedihkan.

Hari ini, wartawan dan kakitangan media mendapati diri mereka terperangkap dalam kekalutan, bergelut dengan ketidaktentuan pekerjaan dan sumber yang makin hari makin berkurang.

Kemunculan media sosial sebagai kuasa dominan sumber maklumat memburukkan lagi keadaan ini. Ia mengalihkan perhatian masyarakat jauh daripada media berita tradisional.

Percubaan lemahkan autonomi kewartawanan

Sambil kita mengharungi Era Media Sosial dengan pengaruh dan peranan media arus perdana semakin berkurangan, kita dilanda realiti pahit tentang kurangnya kefahaman asas tentang peranan media dalam kalangan masyarakat.

Pertikaian antara pengamal media dengan pihak yang tidak memahami selok-belok integriti dan etika kewartawanan menjadi satu perkara biasa, membuktikan adanya keperluan mendesak untuk mendidik dan memupuk kesedaran yang sewajarnya kepada masyarakat awam.

Pengamal media mendapati diri mereka terkepung oleh kritikan yang tidak wajar yang selalunya berpunca daripada tanggapan salah terhadap amalan pelaporan mereka.

Tuduhan pihak media sengaja mensensasikan isu dan laporan berat sebelah terus menghakis kepercayaan masyarakat dan menjejaskan peranan penting media sebagai pemerhati kepada isu-isu penting yang memberikan kesan kepada negara dan rakyat.

Serangan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kredibiliti wartawan individu tetapi juga mengancam kebebasan akhbar.

Gangguan anasir yang menghantui media semakin ketara di mana pihak berkepentingan bertindak menghalang liputan media dan memanipulasi naratif demi memenuhi agenda peribadi.

Percubaan jahat untuk melemahkan autonomi kewartawanan ini bukan sahaja menghalang keupayaan media untuk memenuhi kewajiban pihak media kepada masyarakat bahkan turut menimbulkan ancaman besar kepada prinsip demokrasi.

Adalah mustahak bagi pihak media untuk menghadapi taktik licik ini dengan keazaman yang tidak berbelah bahagi dan tentangan yang gigih.

Majlis Media Malaysia

Di tengah-tengah cabaran ini, Geramm menyeru dengan penuh harapan, menggesa kerajaan untuk berdiri sebagai sekutu yang teguh dalam perjuangan menegakkan integriti media.

Ketelusan daripada badan kawal selia seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah penting dalam memupuk persekitaran yang kondusif kepada kebebasan media.

Hanya melalui usaha kolaboratif dan saling menghormati akan membolehkan pihak media memenuhi peranan pentingnya sebagai tunjang demokrasi.

Geramm optimis dan tidak sabar-sabar menanti pembentangan Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia, memahami ia berpotensi memperkukuh kebebasan dan integriti media.

Langkah perundangan sebegini bukan sahaja menandakan komitmen tinggi untuk menegakkan kebebasan akhbar tetapi juga menjadi bukti kepada daya tahan landskap media Malaysia yang berkekalan.

Pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia ini, Geramm menegaskan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menegakkan integriti media yang di samping pelbagai cabaran yang dialami industri.

Geramm dan rakan-rakan media yang lain akan terus menuntut sokongan dan ketelusan pihak kerajaan agar kedua-dua pihak dapat terus menjaga asas demokrasi dan memastikan semangat kebebasan akhbar terus berkembang maju di Malaysia dan antarabangsa.

Pada hari ini juga, Geramm ingin mengajak kita mengenang jasa 97 wartawan dari pelbagai negara yang telah terkorban akibat serangan Israel pada Perang Gaza sejak 7 Oktober 2023 yang hingga hari ini mencatat lebih 35,000 kematian.


GERAMM adalah kumpulan pengamal media dan penyokong kebebasan media di Malaysia dan Asia Tenggara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.