Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pada negara yang indah ini

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

SURAT | Sesungguhnya kita terhutang budi pada semua yang telah menyumbang membina negara ini - Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan saudara-saudara kita daripada pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.

Seperti ungkapan penuh hikmah Sayidina Ali Abi Talib yang berpesan bahawa setiap manusia itu bersaudara. Ia adalah 'persaudaraan' dari sudut anutan agama dan persaudaraan dalam kemanusian.

Saya sangat cenderung malah propagated dan pada masa yang sama despised terhadap pihak yang hari ini mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat memisahkan atau membina jurang di antara orang Islam (dalam konteks tulisan ini, Melayu) dengan orang Cina, India dan non-Muslim lain.

Malah istilah ‘zimmi vs harbi’ masih menjadi urusan harian kebanyakan daripada kita, sedangkan para ulama dan cendekiawan Muslim kontemporari sudah menyaran pendekatan (dan falsafah) kenegaraan yang lebih santun iaitu al-muwatinun sebagai suatu falsafah kenegaraan berlandaskan Islam Rahmatan lil Alamin.

Sesungguhnya pada negara yang indah ini saya optimis, insya-Allah telah dan ke hadapannya akan dibina oleh semua kaum.

Malaysia tidak berdiri dengan gosokan lampu ajaib Aladdin tetapi daripada keringat, air mata dan darah penduduknya sama ada kaum bumiputera atau saudara kita daripada bangsa-bangsa lain.

Semua kita telah dan - saya yakin - akan terus menyumbang untuk membina negara tercinta ini.

Kita semua adalah produk sejarah. Sejarah yang membentuk strata masyarakat hari ini. Oleh itu kita sangat perlu berdamai dengan sejarah, mengakui dan memperaku bahawa kita semua telah sama-sama menyumbang kepada tanah air yang indah ini.

Mari berkerja dan berbakti untuk negara. Kita semua wajib berbangga mengenalkan diri sebagai warganegara Malaysia tanpa ada pemisahan agama dan keturunan.

Kita adalah anak Malaysia, dan tidak ada istilah ‘pendatang’ dalam kamus kehidupan bernegara di Malaysia.

Mari bekerja membangunkan negara, sederap kaki.


AHMAD NIZAM HAMID ialah pengarah strategi PKR dan PH Pahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.