Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Anwar berjaya baiki hubungan M'sia-Riyadh

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

SURAT | Hubungan Malaysia-Arab Saudi mula dikesan bermasalah semenjak Dr Mahathir Mohamad mengambil tampuk kepimpinan negara pada 2018.

Langkah drastik Mahathir membatalkan rancangan pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) hanya setelah tiga bulan menjadi perdana menteri mengguris perasaan Riyadh.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila Mahathir mengambil keputusan keluar dari pakatan ketenteraan pimpinan Arab Saudi dalam krisis di rantau itu.

Kehadiran tentera Malaysia di Arab Saudi hanyalah untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman yang sedang berhadapan konflik semenjak 2015.

Keputusan Mahathir menarik diri dari pakatan ketenteraan tersebut memberi bebanan lebihan kepada Riyadh untuk mengawal keadaan.

Tusukan terakhir Mahathir yang menyebabkan Riyadh menjadi dingin terhadap Putrajaya ialah melalui penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2019.

Penganjuran program tersebut mengundang ketegangan dengan Arab Saudi apabila Putrajaya megundangan Qatar dan Iran.

Justeru wujud tekanan sehingga menyebabkan Pakistan dan Indonesia menarik diri daripada menyertai sidang tersebut.

Mahathir bukan sahaja gagal mencapai objektif penganjuran KL Summit 2019 (membentuk blok yang mampu memberi tekanan kepada Riyadh), malah menyebabkan hubungan baik antara Putrajaya-Riyadh terjejas.

Hubungan dingin Putrajaya-Riyadh cuba diperbaiki oleh Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.

Pada peringkat awal Anwar cuba mengambil hati Riyadh dengan menjadikan Arab Saudi sebagai negara luar - selain Asean - pertama yang dilawat secara rasmi.

Riyadh pada mulanya agak dingin terhadap Anwar melalui tindakan tidak mengadakan pertemuan dengan Raja Salman atau Putera Mahkota Mohammed Salman semasa lawatan rasmi pertama perdana menteri ke Arab Saudi pada Mac 2023.

Namun Anwar terus berusaha mengeratkan hubungan dengan Riyadh melalui pertemuan rasmi kedua bersama Mohammed pada Okt 2023. Pertemuan tersebut menjadi asas perdamaian dan hubungan yang lebih erat di antara Putrajaya dan Riyadh.

Kejayaan memulihkan hubungan itu dimanifestasikan pada tahun ini melalui penganjuran Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa yang berlangsung di Petaling Jaya semalam.

Persidangan tersebut adalah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Liga Muslim Sedunia yang berpusat di Riyadh. Kerjasama itu berjaya memanifestasikan usaha Putrajaya-Riyadh memimpin ummah sebagai sebuah kesatuan yang utuh.

Perdana menteru menekankan konsep lita'rafu dan karamah insaniah dalam kalangan 60 negara yang hadir ke sidang berkenaan.

Usaha Anwar cuba sedaya upaya untuk memperbaiki hubungan dengan Riyadh adalah tindakan wajar memandangkan negara itu memiliki pengaruh yang kuat ke atas kerajaan-kerajaan Islam termasuk menerusi bantuan-bantuan lumayan serta kawalan ke atas Mekah dan Madinah yang membolehkan ia menentukan kuota haji tahunan.

Justeru hubungan Putrajaya-Riyadh perlu sentiasa diutamakan, manakala perselisihan dengan Arab Saudi tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.