SURAT | Larangan paparan produk vape hadkan akses pengguna
SURAT | Baru-baru ini terdapat satu cadangan daripada The Partnership for Healthy Cities untuk melaksanakan larangan paparan produk tembakau dan vape di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mungkin bunyinya murni iaitu untuk melindungi orang ramai daripada bahaya merokok, namun cadangan tersebut memerlukan analisis secara objektif untuk memahami potensi akibatnya.
Melaksanakan larangan paparan produk vape memberi kesan ketara kepada kesedaran dan pilihan pengguna.
Menyembunyikan produk itu menyekat keupayaan pengguna untuk membandingkan pelbagai jenama, perisa dan tahap nikotin yang merupakan faktor penting untuk membuat keputusan termaklum.
Bagi perokok yang ingin beralih kepada alternatif yang kurang mudarat, larangan berkenaan boleh memudaratkan.
Selain itu, larangan paparan juga menghalang keupayaan mereka untuk mengakses maklumat dengan mudah tentang pilihan perisa berbeza yang tersedia, sekali gus merumitkan pengguna mencari produk yang sesuai dengan keperluan mereka.
Akhirnya, ia menghalang objektif kesihatan awam yang bertujuan untuk mengurangkan kadar merokok melalui promosi vape sebagai alternatif yang lebih selamat.
Lebih membimbangkan lagi, larangan itu juga mungkin bercanggah dengan undang-undang. Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa undang-undang persekutuan mengatasi undang-undang negeri dalam kes-kes yang tidak konsisten.
Dengan tiadanya klausa dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2023 yang melarang paparan produk tembakau, pelaksanaan larangan berkenaan di peringkat PBT adalah tidak sah dan dianggap bertentangan dengan perlembagaan.
Adalah wajar bagi penggubal dasar untuk menolak cadangan larangan tersebut, sebaliknya mengutamakan hak pengguna untuk membuat pilihan bebas dan termaklum.
Sakah faham di antara rokok dan vape sering membawa kepada dasar yang salah, seperti melarang paparan produk vape di peringkat PBT yang secara tidak sengaja mengukuhkan persepsi palsu bahawa vape adalah berbahaya seperti rokok.
Kekeliruan itu mengabaikan potensi pengurangan bahaya yang ketara akibat vape, terutamanya apabila digunakan sebagai alat berhenti merokok.
Tidak seperti rokok konvensional yang melibatkan pembakaran tembakau dan penyedutan tar dan pelbagai karsinogen, vape menyampaikan nikotin melalui larutan terwap, dengan ketara mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya.
Akibatnya, menyamakan vape dengan merokok bukan sahaja memberi maklumat salah kepada orang ramai tetapi juga menjejaskan usaha untuk mempromosikan vape sebagai alternatif buat seseorang yang ingin berhenti merokok.
Kajian yang dijalankan oleh Hartmann-Boyce et al (2022) dalam "Rokok Elektronik untuk Berhenti Merokok" menunjukkan vape sangat membantu.
Kajian sistematik melibatkan seramai 22,052 responden membuktikan rokok elektronik dengan nikotin lebih berkesan berbanding terapi penggantian nikotin, jelas bahawa pengguna harus diberi akses kepada produk ini dan maklumat yang berkaitan.
Pengguna yang dilengkapi dengan pengetahuan lebih berkemungkinan membuat keputusan sedar tentang produk tembakau dan vape, mengurangkan keperluan untuk campur tangan kawal selia yang berat.
Dasar itu juga berisiko membantutkan inovasi dan pembangunan produk dalam pasaran vape.
Menyembunyikan produk tersebut daripada orang ramai akan mengurangkan usaha pembangunan penyelidikan untuk alternatif baru yang kurang mudarat berbanding rokok konvensional.
Seterusnya menjadi halangan untuk memperkenalkan produk inovatif yang berpotensi menyumbang kepada usaha pengurangan kemudaratan.
Selain itu, mengurangkan keterlihatan produk vape mungkin menghalang persaingan pasaran, seterusnya memihak kepada syarikat besar dengan pangkalan pembeli yang mantap dan menjadikannya sukar bagi pendatang bau untuk terus hidup.
Kesannya, industri mungkin terbantut, mengehadkan akses kepada produk inovatif yang bermanfaat untuk pengguna dan kesihatan awam. Oleh itu, adalah penting untuk mempertimbangkan kesan larangan paparan terhadap dinamik pasaran dan inovasi apabila melaksanakan dasar sedemikian.
Bagi menangani punca ketagihan nikotin secara berkesan, penting untuk melaksanakan strategi komprehensif yang melangkaui sekadar menyembunyikan produk vape.
Pendekatan yang lebih berkesan dan menyeluruh adalah dengan memperkasakan pengguna melalui pendidikan dan kempen kesedaran mengenai pengurangan kemudaratan.
Ini adalah langkah yang lebih masuk akal berbanding pengawalseliaan ketat yang mengabaikan hak pengguna.
Dengan memberikan maklumat yang tepat kepada golongan muda tentang risiko ketagihan nikotin dan perbezaan antara merokok dan vape, boleh memperkasakan mereka untuk membuat pilihan termaklum.
Langkah-langkah proaktif ini adalah asas dalam mengurangkan kelaziman ketagihan nikotin dan memupuk komuniti yang lebih sihat dan berpengetahuan.
Jangan salah faham, ini tidak bermaksud menggalakkan belia untuk menghisap vape, apatah lagi merokok. Malah, jika anda tidak merokok, jangan sesekali mencuba vape.
Namun, pendidikan dan kesedaran adalah kunci untuk memperkasakan pengguna terutamanya belia bagi mengawal kesihatan dan kesejahteraan mereka tanpa mengorbankan kebebasan memilih.
Larangan paparan produk di peringkat PBT bukanlah penyelesaian. Ia adalah sekatan yang bercanggah dengan prinsip kebebasan dan autonomi pengguna yang seharusnya dipertahankan.
TARMIZI ANUWAR ialah anggota sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai