Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Penularan budaya ekstremisme di M'sia

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

SURAT | Budaya ekstremisme boleh dikaitkan dengan ideologi yang menerima pendekatan keganasan demi mencapai matlamat melangkaui batas kewajaran, malah bertentangan dengan nilai kemanusiaan.

Ideologi itu tidak terhad kepada bidang tertentu.

Pengamal ideologi ekstremisme menterjemahkan pegangan mereka melalui aktiviti radikal dan fanatik.

Ekstremis yang mengamalkan pendekatan tersebut selalunya merasakan bahawa mereka sentiasa berada pada landasan perjuangan yang "benar". Tujuan mereka juga dianggap benar dan menghalalkan sebarang pendekatan termasuk yang ganas.

Tiada pihak yang menjangkakan bahawa ekstremisme boleh bertapak dalam dunia sukan di Malaysia.

Kejadian yang menimpa pemain Selangor FC, Faisal Abdul Halim, sehingga mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid membuktikan budaya ekstremisme telah jauh mengakar dalam kalangan masyarakat.

Sebelum itu pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid, disamun sehingga mengalami kecederaan di Kuala Terengganu.

Safiq Rahim yang merupakan pemain JDT pula berhadapan kejadian cermin keretanya dipecahkan dengan tukul besi oleh dua penyerang.

Pihak polis masih menjalankan siasatan berkenaan motif kejadian tersebut.

Namun penganalisis sukan, Pekan Ramli, tidak menolak kemungkinan budaya hooligan atau keganasan dalam bola sepak ada kaitan dengan kes tersebut.

Kumpulan hooligan yang terlalu menyayangi pasukan bola sepak masing-masing sanggup melakukan tindakan diluar batas kewajaran demi melihat skuad mereka cemerlang dalam saingan Liga Malaysia.

Budaya ekstremisme juga dapat dilihat dalam bidang politik sebelum ini apabila kenyataan oleh suatu pihak menerima reaksi yang radikal dan fanatik.

Misalnya pandangan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkenaan Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong 'dijawab' dengan lemparan bom petrol.

Perkara sama turut menimpa pemimpin DAP, Ngeh Koo Ham, apabila kenderaan dan sebahagian rumahnya terbakar gara-gara api dari molotov cocktail pihak tidak dikenali.

Proses pencegahan ekstremisme hanya boleh mencapai kejayaan melalui intervensi awal bagi menghalang golongan pelampau daripada terus bertindak sesuka hati mereka.

Jumlah mereka perlu dikecilkan dengan menghalang sebarang dakyah berbentuk ucapan kebencian tersebar.

Justeru tindakan kerajaan mengawal budaya ekstremisme melalui sekatan terhadap penyebaran berita palsu adalah sesuatu yang harus disokong.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Salawati Mat Basir berpendapat kerajaan tidak perlu memberi muka kepada penyebar berita palsu.

Sebaliknya tangkap dan kenakan hukuman yang berat agar ia menjadi pengajaran kepada yang lain.

Kerajaan tidak boleh mengawal perkembangan platform media sosial kerana dianggap sebagai tindakan yang tidak progresif.

Namun kerajaan berhak mengawal penyebaran berita palsu yang boleh membawa kepada budaya ekstremisme melalui pengasingan penyebar dakyah tersebut daripada masyarakat terbesar di Malaysia.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.