Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Protes MPP UiTM: Antara keutamaan dan hak istimewa

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Dalam melihat isu yang berlegar saban hari mengenai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang jalankan protes terhadap penempatan tujuh orang doktor perubatan bukan Bumiputera yang menjalankan parallel pathway yang hanya ditawarkan di UiTM sejak tahun 2020 dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) selepas pelajar kohort 1 tamat.

Parallel pathway ini juga turut diiktiraf oleh Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd).

Program parallel pathway ini bukanlah program prasiswazah, tetapi ia adalah program klinikal dan latihan kepakaran kardiotoraks memandangkan negara mengalami penyusutan pakar jantung sedangkan serangan jantung adalah faktor utama kematian.

Dalam keadaan penularan wabak Covid-19, peruntukan perbelanjaan mengurus bagi kardiotorasik menurun tiga kali ganda semasa Belanjawan 2021, walhal negara sedang mengalami potensi peningkatan serangan jantung meskipun pada usia muda.

Penempatan tujuh orang bakal pakar kardiotoraks ini hanyalah transit sebelum Pusat Perubatan UM (PPUM) membuka program ini.

MPP UiTM lebih memilih untuk bermain dengan naratif kononnya kesemua kampus akan menerima kemasukan bukan Bumiputera ke dalam kampus.

Bukan itu sahaja, MPP mengajak protes dengan memakai pakaian serba hitam di dalam kampus.

Fiqh awlawiyyat

Protes ini bagus, tetapi di mana suara MPP saat pelajar dalam getir?

Keutamaan itu hendaklah diletakkan di tempat yang paling tepat dalam memastikan kebajikan pelajar terjamin.

MPP UiTM seharusnya mendalami fiqh awlawiyyat iaitu meletakkan keutamaan yang penting untuk diperjuang dan dibawa kepada pentadbiran.

Isu kelewatan konvo bagi pelajar sarjana muda dan diploma masih tiada tarikh dan kata putus untuk dilaksanakan.

Isu penempatan pelajar di kolej masih belum selesai khususnya melibatkan pelajar-pelajar B40.

Ada yang merempat di masjid dan surau akibat kelemahan sistem meritokrasi kolej. Isu ketiadaan air di kampus atau kolej yang berlarutan saban hari.

Ada siswa dan siswi tidak mendapat kemudahan asas seperti itu. Sepatutnya, itu yang harus diperjuangkan dahulu dan bukannya slogan Melayu-Bumiputera dan mencanang Perkara 153 tanpa tafsiran pakar.

MPP hari ini perlu lebih proaktif dalam menangani isu-isu kebajikan mahasiswa yang paling utama hari ini.


ALIF FAHMI ialah pelajar siswazah program sarjana sains politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Alif Fahmi.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.