Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Reformasi kepimpinan MTUN demi agenda TVET nasional

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Tertarik dengan tulisan saudara Zulkifli Mohamed yang bertajuk ‘Perhalusi lantikan naib canselor agar pisang tidak berbuah dua kali’ yang disiarkan di Malaysiakini pada 9 Mei yang lalu, saya sebagai presiden Persatuan Alumni Graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terpanggil untuk memberi sedikit kupasan. 

Memetik tulisan Zulkifli yang berbunyi, “Pelantikan naib canselor di setiap universiti juga perlulah disaring dengan teliti, perkenalkan wajah-wajah baharu yang mesra, muda dan bukan dalam kalangan yang sudah bersara agar universiti kekal remaja, relevan, bertenaga dan menghayati aspirasi kerajaan yang ada pada hari ini.” 

Pada hemat saya kenyataan ini sangat tepat dalam situasi hari ini saat melihat kesungguhan kerajaan mentransformasikan sistem pendidikan nasional melalui program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai agenda utama negara. 

Namun demikian, aspirasi ini mungkin sahaja terbantut sekiranya tidak disusuli dengan strategi sumber manusia yang tepat dalam menerajui universiti-universiti teknikal di Malaysia atau dikenali juga sebagai Malaysian Technical University Network (MTUN). 

Bagi mendepani cabaran pembangunan sumber manusia yang kompeten daripada segi teknikal dan soft-skill di samping perubahan teknologi yang kian pantas, universiti teknikal perlu memainkan peranan yang besar bagi memastikan penggeraknya juga kompeten, energetik, berilmu dan peka terhadap perubahan teknologi. 

Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi universiti teknikal ini dipimpin oleh mereka yang muda, kompeten dalam bidang teknikal seiring dengan kemajuan teknologi, faham akan keperluan industri, serta cakna kepada pembangunan masyarakat setempat. 

Individu tersebut juga perlulah tegas dalam menjalankan amanah, mempunyai gaya kepimpinan yang diterima oleh semua pemegang taruh serta sentiasa berlaku adil. Dengan meletakkan mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti ini ia akan melonjakkan pencapaian TVET negara. 

Sebaliknya, mereka yang telah mencapai usia persaraan dan tidak memiliki latar pendidikan serta pengalaman dalam dunia TVET, sebenarnya tidak lagi relevan dalam menerajui sesebuah universiti teknikal yang sangat memerlukan kepakaran, kompetensi ilmu teknikal, jaringan dan rakan-rakan strategi yang tahu selok belok dunia TVET bagi mengharungi cabaran semasa dunia teknikal, bahkan secara tidak langsung membazirkan cukai rakyat untuk membayar tambahan gaji kepada mereka. 

Hal ini juga menutup ruang ‘plan penggantian’ kepimpinan generasi baharu yang seharusnya diberi peluang untuk memimpin dengan pendekatan dan idea yang lebih komprehensif. Justeru itu, untuk meningkatkan keupayaan teknikal negara kita memerlukan pemimpin yang tepat dan mahir dalam bidang ini. 

Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Tinggi melihat semula barisan naib canselor dan barisan kepimpinan tertinggi universiti teknikal di Malaysia ini, di samping mengambil pendekatan meletakkan mereka yang tepat dalam bidangnya, amanah, berintegriti, bertenaga, muda dan diterima gaya kepimpinannya di setiap peringkat pentadbiran universiti

KPT.

Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang mana berfungsi melatih dan menyiapkan bakat bagi memimpin institusi pendidikan tinggi negara, seharusnya dapat digunakan bagi melahirkan pemimpin muda yang kompeten dalam bidang teknikal serta mempunyai ciri-ciri pemimpin yang unggul dalam menerajui agenda TVET melalui universiti teknikal. 

Kami percaya pihak AKEPT telah mempunyai pangkalan data pemimpin-pemimpin yang mampu menerajui universiti dengan baik dan jayanya.

Di samping itu, pihak KPT juga perlulah mengikuti garis panduan dalam pemilihan Lembaga Pengarah Universiti. 

Lembaga pengarah universiti perlulah terdiri daripada mereka yang kompeten dalam bidang tujahan universiti serta yang mempunyai pengalaman korporat yang dapat memberikan nilai tambah kepada universiti tersebut. 

KPT juga disaran mempunyai piagam lembaga pengarah yang jelas mengenai kemahiran serta pengalaman yang diperlukan oleh sesebuah universiti khusus seperti universiti teknikal sebelum melantik mana-mana individu sebagai ahli lembaga pengarah. 

Rakyat menginginkan agar universiti teknikal ini dibangunkan selaras dengan objektif penubuhannya dan diterajui oleh mereka yang benar-benar kompeten dan bertenaga.


SYED MOHAMAD HAMZAH AL-JUNID SYED ABDUL RAHMAN merupakan presiden Persatuan Alumni Graduan UMPSA.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.