Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT l Menulis biar beradab dan berilmu

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

SURAT l Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) kesal dengan pandangan kolumnis Malaysiakini tulisan Andrew Sia (“penulis”) yang menyamakan UiTM sebagai satu tindakan aparteid.

Penulisan beliau bukan sahaja dangkal malah mempamerkan sikap tidak tidak acuh beliau dalam mendapatkan situasi sebenar polemik yang berlaku. 

PAUiTM tidak berminat untuk terjerumus dalam perdebatan dan soal pelabelan yang dilemparkan.

Apatah lagi merendah tahap intelektual seperti mana dilakukan penulis terhadap dirinya sendiri. Malah ia sebenarnya menggambarkan betapa penulis sebenarnya seorang yang polaris, lebih teruk lagi sudah tidak ada hujah kukuh dalam memahami keseluruhan isu yang terjadi.

PAUiTM ingin menyarankan penulis “balik study” terlebih dahulu isu pokok dalam polemik yang mengait dan mengheret UiTM ini sebelum memuat apa-apa pandangan di media massa.

Seharusnya penulis yang berminat dengan minuman teh tarik khau kurang manis ini mengamalkan sikap kewartawanan yang sebenar seperti bertanyakan soalan-soalan yang sepatutnya terlebih dahulu sebelum menulis.

Panduan 5W 1H boleh digunakan sekiranya penulis lupa atau buat-buat lupa. PAUiTM juga boleh membantu penulis dengan bertanyakan soalan-soalan seperti berikut

  • Apakah isu sebenar dalam polemik program parallel-pathway kardiotoraksik ini?

  • Siapakah institusi di Malaysia yang terlibat dalam penawaran program kardiotoraksik oleh Fellow Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS)? Adakah mereka ada lesen untuk penganjuran program kepakaran klinikal di Malaysia?

  • Adakah penawaran program ini diiktiraf di United Kingdom dan di Malaysia?

  • Bagaimanakah progran latihan kepakaran klinikal yang sepenting ini masih tidak diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia? 

  • Apa masalah sebenarnya dengan program ditawarkan oleh FRCS ini, mengikut tatacara pelaksanaan program kepakaran klinikal di Malaysia berdasarkan Akta Perubatan?

  • ⁠Kenapakah hanya UiTM disebut dan dirujuk dalam isu pengiktirafan program kardiotoraksik ini?

  • Kenapakah tidak ada universiti awam lain menjalankan program kardiotoraksik ini?

  • Adakah UiTM memang penting diri, selfish dan tidak membantu langsung dalam hal berkaitan program kardiotoraksik selama ini?

  • Adakah kursus FRCS akan diteruskan sekiranya UiTM atau universiti awam lain menawarkan program kardiotoraksik ini?

Kenapa selepas 67 tahun merdeka dan berdaulat, kita masih mengharapkan program luar? Di manakah jati diri kita?

Ini hanyalah sebahagian panduan soalan-soalan yang boleh ditanya oleh penulis sekiranya beliau malas atau ignorant untuk membuat kajian terlebih dahulu.

PAUiTM bersedia membantu penulis sekiranya beliau memerlukan bantuan dalam mendapatkan jawapan-jawapan tersebut, berbanding melempar tuduhan serta tanggapan yang melulu. 

PAUiTM juga ingin mengingatkan penulis bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang terbina daripada lipatan sejarah yang panjang, serta memiliki kerukunan sosial yang sedia terbina di kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

Ini bukan soal UiTM mahu atau UiTM tidak mahu. Soal pokok adalah UiTM bertindak berpandukan akta, perlembagaan serta panduan yang diberikan oleh kerajaan.

PAUiTM mewakili para alumni UiTM sentiasa berpegang kepada asas penubuhan UiTM dan ia merupakan satu daripada keseimbangan sosial di dalam fabrik masyarakat di Malaysia.

Meskipun terguris dengan tulisan penulis, PAUiTM percaya bahawa rakan-rakan bangsa lain (kecuali penulis) faham akan erti perkongsian hidup bernegara pelbagai bangsa di Malaysia. Apatah lagi dengan peranan yang dimainkan oleh UiTM sejak penubuhannya pada 1956. 

Semoga penulis lebih rasional, berhati-hati dan beradab dalam penulisan. Jangan jadi seperti kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu. Kura-kura ini resminya lambat tetapi tidak malas.


Surat ini sumbangan Persekutuan Alumni UiTM Malaysia dan tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.