Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT l Perutusan Negara Anwar bercelaru, rakyat terpinga-pinga

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

SURAT l Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 21 Mei lalu menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan.

Namun, cerita dalam perutusan itu diulang-ulang, umpama seorang pensyarah ekonomi di dewan kuliah.

Tidak pasti, rakyat marhaen yang mengikuti siaran itu faham atau tidak dengan bahasa Melayu tinggi yang digunakan oleh Anwar. Yang jelas, tidak sampai apa yang dimesejkan, selain permainan angka yang memukau serta masih menaburkan janji-janji.

Cerita rasuah tak habis-habis. Beria-ria menceritakan dakwaan kepada pihak tertentu. Cubaan terus menerus menyalahkan pihak lalu. Nampak sangat kerajaan madani tak move move forward, asyik gear undur sahaja.

Tidak habis-habis cerita projek tebatan banjir yang kononnya menjimatkan RM2 bilion, musim banjir pun dah off season.

Anwar ada sentuh soal penyeludupan, perkara ini rakyat sudah tahu semuanya kerana ini memang berterusan, malah perdana menteri begitu bangga kononnya kartel minyak masak, telur dan ayam dapat dibanteraskan, tetapi bagaimana pula dengan kartel beras, kartel sayur, kartel peruncitan, kartel bahan pembinaan?

Dalam perutusan itu disebut juga kononnya Ekonomi Madani sebagai landasan utama bagi memperbetulkan sistem struktural ekonomi negara tetapi hakikatnya tidak begitu.

Rakyat marhaen yang menonton siaran langsung perutusan itu melahirkan kekecewaan kerana kata-kata Anwar umpama ulangan perancangan soal NETR (Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara), NIMP (Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030), rancangan separuh penggal RMK12 dan belanjawan 2025. Apa yang baharu sebenarnya?

Nak tergelak pun ada apabila Anwar baru nak menyebut menggerakkan seluruh jentera, belum gerak lagi ke?

Diucapkan gaji rakyat yang kononnya pendapatan boleh dicapai RM4,500 dalam sektor pembuatan menjelang 2030, bayangan itu enam tahun lagi, lama sangat, rakyat nak tunggu ke? Cerita gaji sektor awam pada 1 Disember depan, entah ya atau tidak.

Dalam perutusan Anwar nampak sangat tutur bicara perdana menteri tersekat-sekat, riak wajah yang terlalu untuk perjelaskan, over explain, terlalu banyak pergerakan anggota badan, senang cerita macam tidak tenteram di depan lensa kamera secara langsung, apa ceritanya?

Dalam perutusan itu, Anwar tidak menafikan malahan mengakui masalah negara yang pelbagai. Kenapa begitu?

Masih diceritakan atau dikekalkan dalam story-board soal FDI (pelaburan langsung asing) sebanyak RM329.5 juta diluluskan tahun 2023 lalu, tetapi direalisasikan? Rakyat tanya ini!

Disebut juga komitmen pelaburan sebanyak RM76.1 bilion setakat Mac 2024 lalu, istilah lain pula, "komitmen" yang bagaimana pula? Dah diluluskan atau direalisasikan, ini rakyat marhaen tanya!

Masih lagi diceritakan soal bebanan hutang RM1.2 trilion. Lagi-lagi disasarkan golongan Maha Kaya? Dah masuk pertengahan tahun kedua pemerintahan, nada masih sama sahaja.

Rakyat faham ke soal sen dan faedah hutang, pelajar jurusan ekomomi mungkin faham tetapi rakyat biasa tak faham apa yang dituturkan perdana menteri dalam perutusan itu.

Anwar acapkali sebut sakau dan merompak. Siapa sebenarnya yang masih merompak lagi? Reformasi fiskal? Kenaikan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan), menambah lagi percukaian, tarik subsidi apa yang dicapai sekarang sebenarnya?

Dalam perutusan itu, cerita orang kaya dan rakyat asing, siapa sebenarnya? 

Anwar acapkali rasa aneh dan bingung? Siapa sebenarnya?

Yang dijangka selama ini, penyasaran subsidi bahan api dipersetujui dalam mesyuarat kabinet, maka selamat datang ibu segala kemungkinan, tunggu… Disebut juga bantuan tunai pemilik kenderaan individu terpilih? Siapa yang sebenarnya terpilih?

Rakyat terus berasakan pelik apabila sebutan golongan Maha Kaya dan Orang Asing diulangi lebih sepuluh kali, siapa mereka sebenarnya, rakyat ingin tahu!

Dalam perutusan itu, Anwar ada sebut duit bantuan yang ditambah-tambah, jadi rakyat nak tahu juga betul ke? Soal ini kena teliti dan audit kerana kena pastikan betul ke duit dari yg diselamatkan dari ketirisan? 

Akhir sekali, perdana menteri ada sebut fikiran yang bercelaru? Siapa sebenarnya bercelaru, kerajaan madani  atau rakyat jelata?


RAZALI IDRIS adalah ahli Dewan Negara dan ketua penerangan Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.