Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kosep futuristik Selangor dicemburui

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

SURAT | Imej Selangor yang diterima baik sebagai kerajaan yang telus cuba dicalarkan oleh sesetengah pihak melalui tuduhan tidak berasas membabitkan isu penganugerahan kontrak yang terkait dengan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Isu itu dijelaskan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Selangor, Ng Sze Han yang memberitahu Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (AMT) - yang terkait dengan suami Yeoh - adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek rintis Demand Responsive Transit (DRT).

Kontrak diberikan kepada dua syarikat berkenaan kerana hanya mereka saja di Malaysia ini memiliki kepakaran serta memiliki lesen untuk mengendalikan kenderaan berkenaan.

Penganugerahan juga diberikan dengan syarat kedua-dua syarikat terbabit melalui proses pembuktian konsep selama sembilan bulan bahawa DRT mampu mengurangkan operasi berbanding perkhidmatan bas Smart Selangor.

Hanya dengan pembuktian begitu barulah kerajaan Selangor mempertimbangkan pemberian kontrak.

Isu pokok yang perlu difahami ialah kontrak pengangkutan bagi menggantikan bas Smart Selangor masih belum diberikan kepada AMT, justeru tiada sebarang tindakan yang melanggar tatakelola dilakukan oleh mana-mana pihak.

Kerajaan Selangor masih dalam proses penelitian konsep DRT yang cuba diperkenalkan.

Pada 2023 projek rintis untuk aplikasi DRT telah berlangsung di empat kawasan terpilih iaitu Puchong, Gombak, Ampang dan Subang Jaya.

Kerajaan negeri bercadang memperluaskan projek rintis tersebut kepada lapan kawasan tambahan menjelang 2024.

Laporan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2023 menunjukkan projek berkenaan mendapat respon positif dan tidak ada perkara yang menghalang DRT diperluaskan.

Hal itu kerana pengendali projek tersebut telah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Tuduhan pihak tertentu berkenaan penganugerahan kontrak berkenaan berkisar kepada mengapa ia tidak dilaksanakan secara tender terbuka.

Perbuatan menganugerahkan kontrak tersebut secara terus kepada dua syarikat dilihat sebagai melanggar prinsip tatakelola baik yang diperjuangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Persoalan itu telah dijawab sejak awal iaitu hanya dua syarikat terbabit yang memiliki kepakaran serta lesen bagi mengenalikan DRT di Malaysia.

Perkara berkenaan dipersetujui oleh perdana menteri dalam beberapa ucapan beliau berkenaan penganugerahan kontrak secara rundingan terus kepada bidang kepakaran yang khusus.

Pemberian kontrak secara rundingan terus pernah dilakukan oleh kerajaan Madani melibatkan sektor perubatan (Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd) dan semikonduktor (Kelington Group Bhd).

Ia melibatkan bidang khusus dengan kepakaran yang terhad.

Malah Anwar secara terbuka mengeluarkan kenyataan untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan jika benar wujud elemen salah laku terkait penganugerahan kontrak DRT.

Pihak tidak bertangungjawab yang cemburukan kejayaan Selangor membawa konsep futuristik dalam pentadbirannya kini memainkan isu remeh demi mengalihkan perhatian masyarakat.

Kejayaan sebenar hasil aplikasi DRT tidak pula dibincangkan secara meluas.

DRT dibangunkan untuk kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit kerana ia mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam seperti tren dan bas.

Selangor kini adalah satu-satunya kerajaan negeri dalam Malaysia yang berusaha mengaplikasikan konsep tersebut.

Jika berjaya maka jangkauan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat negeri Selangor akan bertambah mudah dan kerajaan mampu menjimatkan lebih banyak perbelanjaan operasi pengangkutan awam.


MOHD FAUZI FADZIL ialah timbalan ketua penerangan Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.