Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | KPM tidak boleh tunduk

Artikel ini sudah 24 hari diterbitkan

Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) menyelar tindakan lembaga sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang yang membantah langkah Kementerian Pendidikan Pendidikan (KPM) berkenaan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu dalam subjek Sains dan Matematik.

Penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkenaan perkara tersebut baru-baru ini amat tepat dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Kita sebagai rakyat Malaysia di segenap lapisan seharusnya menyokong usaha KPM yang positif demi mengangkat penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.

Tindakan mereka yang membantah langkah KPM itu sangat tidak dialu-alukan dan tidak menghormati perlembagaan negara, sekali gus menyimpang daripada hasrat menyatupadukan bangsa dan kaum di negara kita.

Sesungguhnya, perspektif sempit cauvinisme menebal akan menjadikan hubungan kaum semakin jauh dan amat membahayakan dalam konteks perpaduan rakyat pada masa hadapan.

Pemuisi meminta pihak-pihak berkenaan supaya bermuhasabah serta bandingkan dengan keadaan di negara-negara selain Malaysia, dalam konteks bahasa penduduk yang mendiami di negara-negara tersebut.

Selagi perlembagaan negara kita tidak diikuti sepenuhnya, pasti pelbagai masalah akan timbul kerana perlembagaan dibuat berdasarkan kontrak sosial antara bangsa-bangsa yang mendiami Malaysia, dengan terasnya Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini.

Dalam hal ini, Pemuisi menggesa KPM tidak tunduk kepada bantahan tersebut, sebaliknya terus menjalankan dasar-dasar yang mengangkat bahasa Melayu dalam sistem pengajaran dan pendidikan negara, dalam gagasan Malaysia Madani.


RADZUAN IBRAHIM @ WANRAZUHAR ialah presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.