Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Falsafah haji: Manifestasi Penyatuan umat pembebasan Palestin

Artikel ini sudah 20 hari diterbitkan

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang ilaksanakan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Ia bukan hanya sebuah upacara keagamaan namun terdapat makna dan falsafah mendalam di sebalik setiap tahap ibadah haji. 

Ibadah ini merupakan simbolik yang kuat dalam membangun kekuatan pertahanan umat Islam dari sebarang ancaman.

Melontar jamrah di Mina merupakan sebahagian daripada ibadah haji yang memiliki makna mendalam. 

Umat Islam melontar batu ke arah tiga jamrah (Aqabah, Wustho, dan Sughro) sebagai simbolik penolakan terhadap syaitan. 

Sejarah mencatatkan bahawa Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah untuk merejam syaitan di tiga lokasi ini. 

Lebih dari sekadar tindakan fizikal, melontar jamrah mengandungi falsafah penting tentang bagaimana umat Islam harus berani menolak dan melawan setiap bentuk ancaman dan godaan yang datang dari golongan yang menentang mereka.

Tindakan ini mengingatkan umat Islam akan pentingnya selalu waspada dan siap siaga dalam mempertahankan diri dari segala bentuk ancaman. 

Melalui ibadah ini, Allah SWT mengajarkan betapa pentingnya sifat berani dan keteguhan hati dalam menolak kejahatan dan fitnah yang diwakili oleh syaitan.

Kemudian, haji merupakan perhimpunan tahunan terbesar umat Islam yang melibatkan jutaan manusia dari pelbagai latar belakang, ideologi, mazhab, warna kulit, bahasa, dan bangsa. 

Kesatuan ini seharusnya dimanfaatkan untuk menggembleng seluruh potensi dan kekuatan yang dimiliki umat Islam. 

Dalam konteks ini, falsafah haji menekankan pentingnya persatuan dan solidariti dalam membangun kekuatan pertahanan umat Islam melalui satu tujuan iaitu untuk bersatu padu.

Persiapan kekuatan ummah adalah tanggungjawab setiap individu Muslim, baik dari kalangan pemerintah, ilmuwan, alim ulama, profesional, aktivis masyarakat, mahupun masyarakat awam.

Hal ini adalah fardhu ain bagi setiap Muslim sesuai dengan kemampuan dan potensi masing- masing. 

Jika tidak diupayakan, setiap individu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Falsafah haji memiliki dimensi politik yang mengajarkan umat Islam untuk menyusun kekuatan besar dalam aspek pertahanan. Konsep al-Bara’ah, atau penolakan terhadap musuh dan ancamannya, yang diteladani dari Nabi Ibrahim AS, diabadikan dalam ibadah haji. 

Kesatuan umat Islam dalam melaksanakan tujuan agung Islam dan memperkuat sistem pertahanan adalah kunci dalam membentengi umat dari segala bentuk ancaman.

Pembebasan Palestin merupakan ujian besar bagi seluruh umat Islam, dengan jumlah umat Islam yang mencapai lebih dari satu juta, namun negara-negara Islam belum mampu menghentikan keganasan rejim zionis Israel. 

Falsafah haji mengajarkan bahwa dengan kesatuan dan keteguhan, umat Islam seharusnya mampu membebaskan Palestin dari penindasan.

Untuk merealisasikan pembebasan Palestin dan memperkuat pertahanan umat Islam memerlukan

usaha dan strategi yang jelas, antara lain memperkuat semangat persaudaraan dan kerjasama antara negara-negara Islam. 

Penting juga untuk membentuk kesatuan pakar dari negara-negara Islam dalam berbagai bidang.

Kerjasama dalam industri pembuatan, ekonomi, pertanian, mata wang, dan perbankan harus ditingkatkan. 

Selain itu, mengembangkan kekuatan dalam sains dan teknologi, termasuk tenaga nuklear, gas, dan petroleum adalah langkah strategis yang harus diambil.

Umat Islam juga perlu merumuskan formula untuk menjaga negara Islam dari ancaman ekonomi, politik, kebudayaan, dan keselamatan. 

Kerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti OIC dan PBB sangat penting untuk mengimbangi prinsip keadilan dunia. 

Pembentukan pakatan pertahanan untuk melindungi negara Islam yang dicerobohi dan mendukung pembebasan Palestin harus menjadi keutamaan.

Terakhir, penting untuk mempromosikan persaudaraan dan kesatuan umat melalui jaringan media Islam antarabangsa, serta memberi pendidikan mengenai musuh sebenarnya, iaitu zionis Israel.

Dengan menerapkan falsafah haji, umat Islam dapat membangunkan kekuatan yang kuat dan teguh untuk menghadapi setiap ancaman, serta mewujudkan pembebasan Palestin dalam waktu dekat, insya-Allah. 

Kesatuan, keteguhan, dan kerjasama adalah kunci utama dalam menghadapi segala bentuk tentangan dan ancaman yang mendatang.


SYED SHEIKH AL-ATTAS ialah presiden Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.