Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT l Diesel RM3.35 - Lain nada PAS

Artikel ini sudah 20 hari diterbitkan

SURAT l Semalam kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan agak begitu lunak dan seperti dan semacam bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik subsidi diesel

PAS hanya minta kerajaan madani untuk memperbaiki perlaksanaan, meningkatkan penguatkuasaan dan memastikan golongan sasar menikmati inisiatif dan dasar rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan. 

Namun, lain pula kenyataan dari kem Bersatu yang agak "hostile" dan "very defensive" yang bermatian mempertahankan subsidi diesel perlu dikekalkan.

Sebagai orang politik saya melihat ini  keadaan "amat tricky" dan "agak bahaya" untuk kem Umno dan juga Bersatu. 

Adakah PAS sudah mula bersikap pro dan mesra kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim walaupun isu sebesar dan sehangat seperti subsidi diesel ini dianggap sebagai tiada apa-apa yang perlu dibangkitkan dan bersifat ala kadar sahaja. 

Umno dalam kerajaan, Bersatu dan PAS di luar kerajaan (pembangkang) yang juga bercita-cita untuk menjadi kerajaan cuma malangnya tak cukup kerusi Parlimen walaupun kedua-duanya bergabung. 

PAS amat faham senario politik terkini. Dengan lebih 40 kerusi PAS bersedia untuk meninggalkan Bersatu untuk menjadi sebahagian kerajaan dengan Umno mengambil keputusan keluar dari kerajaan madani sekarang. Dengan kata lain, Anwar masih menjadi perdana menteri, cuma Umno jadi pembangkang dan PAS menjadi kerajaan pula ibarat salin kulit di antara PAS dan Umno.

Sebelum ini pun Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, yang kedua-dua mereka dari  PAS juga bersikap mesra dengan kehadiran Anwar di kedua-dua negeri tersebut sebelum ini. 

Malah Sanusi memohon kemaafan dengan sikap dan kenyataan yang dibuat terhadap Anwar sebelum ini.

 Betul-betul lain nada PAS kali ini jika kita tengok dari awal-awal penubuhan kerajaan madani. Banyak kenyataan keras yang dikeluarkan sehingga pernah menyentuh hal-hal peribadi Anwar.

Saya bukannya ahli nujum Pak Belalang, tetapi tingkah laku PAS sejak kebelakangan ini boleh membayangkan apa yang sedang berlaku di belakang tabir. Politik adalah penuh dengan kejutan, apa-apa juga boleh berlaku sekarang ini. 

Lawan jadi kawan, kawan jadi lawan dan ia sudah terbukti sejak sepuluh tahun yang lalu.Desakan Umno supaya tinggalkan kerajaan madani yang datang dari dalam dan luar parti makin kuat tetapi jangan kita lupa dan alpa, saat kita keluar dari kerajaan, PAS akan menjadi penganti dengan tinggalkan Bersatu untuk sertai kerajaan yang dipimpin oleh Anwar. Ini bacaan politik saya. 

Kontigensi politik sentiasa berada di dalam kamus dan rancangan politik pemimpin politik dan kem perdana menteri juga faham sangat akan perkara ini demi kelangsungan politik mereka.

Akhir kata, Umno kena lebih hati-hati dengan permainan belakang tabir politik ini sebab kita pernah mengalaminya ketika era Muafakat Nasional. 

Kita ikhlas bersahabat dengan PAS tetapi rupanya agenda mereka lain. Tikam dan bunuh Umno dalam diam. Kali ini Umno perlu bijak dalam segala langkah dan percaturan politiknya dan saya amat percaya dan yakin presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan tertinggi Umno tahu apa yang sedang berlaku dalam memastikan road map pati untuk PRU16 berjaya, kekal relevan dan terus menjadi sebahagian dari kerajaan. 

Oleh itu, nasihat saya buat Aali-ahli Umno jangan terfikir sekali kali untuk kita cadangkan parti ini keluar dari kerajaan walaupun isu Bossku (Najib Razak), isu subsidi diesel dan isu-isu lain yang tidak berpihak dengan keberadaan Umno di dalam kerajaan. Berfikirlah secara logik dan bijak dalam halatuju parti kita.


GULAM MUSZAFFAR adalah Ketua Umno Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.