Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Tiada istilah penarikan semula subsidi

Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

SURAT | Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan menyambut baik langkah Kerajaan dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.

Kami percaya bahawa inisiatif ini adalah langkah tepat dalam usaha menyelamatkan negara daripada isu ketirisan wang rakyat.

Pelaksanaan ini akan dapat membendung isu penyeludupan diesel ke luar negara yang selama ini hanya membazirkan peruntukan subsidi Kerajaan kerana melalui aktiviti haram penyeludupan diesel, sebahagian besar jumlah subsidi ini secara pukal diterima oleh pihak yang tidak sepatutnya.

Golongan rentan sama sekali tidak terkesan dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini kerana mereka layak menerima pembahagian semula subsidi ini dalam bentuk bantuan tunai yang mampu memberikan penjimatan semula kepada pengguna bahan api itu.

Bantuan ini akan disalurkan kembali kepada pengguna diesel yang layak khususnya golongan individu berpendapatan rendah, petani dan pekebun kecil melalui Program Budi Madani bagi memastikan kebajikan rakyat kebanyakan kekal terpelihara.

Tiada istilah penarikan semula subsidi kerana melalui platform Budi Madani, wadah ini dapat memastikan bantuan subsidi kepada golongan sasar dapat dilaksanakan dengan lebih efektif kepada rakyat yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Mereka yang berkelayakan diseru untuk melakukan permohonan melalui laman web rasmi di https://budimadani.gov.my/.

PKR Wilayah Persekutuan yakin bahawa langkah ini merupakan satu tekad politik yang berani oleh Kerajaan Perpaduan dan bakal membawa manfaat yang besar kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.


AZMAN ABIDIN adalah Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.