Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Serangan awal PAS dari Sg Bakap

Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

SURAT | Bahang pilihan raya kecil (PRK) untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang hanya bakal membuka gelanggang secara rasmi pada 22 Jun ini.

Namun serangan pihak pembangkang sudah dimulakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sejak awal lagi.

PRK kali ini menjadi medan ujian PAS dari segi sokongan pengundi terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu memandangkan taktik menggunakan isu 3R gagal mendatangkan kesan di Kuala Kubu Bharu.

Justeru tidak hairanlah Tuan Ibrahim cuba menggunakan serangan dari sudut dasar kerajaan Madani yang dia anggapnya sebagai “senduk besar yang tak mengenyangkan”.

Tuan Ibrahim cuba mengungkit isu formula menurunkan harga kereta, minyak dan segala perkara yang membebankan rakyat.

Perkara yang diungkit itu - jika dirujuk kembali Manifesto PH pada 2022 bertajuk Tawaran Pakatan Harapan Untuk PRU15, langsung tiada dinyatakan janji untuk menurunkan harga kereta atau minyak.

Sebaliknya perkara tersebut ada dijanjikan oleh PAS sendiri melalui Manifesto Gagasan - yang diterajui mereka - bertajuk Malaysia Sejahtera.

Namun sepanjang 33 bulan PAS memegang kuasa di Putrajaya, tiada satu pun daripada janji tersebut ditunaikan.

Lucunya, kini PAS cuba menagih janji yang tidak pernah diungkapkan oleh kepimpinan kerajaan Madani.

Bangkitkan isu diesel

 Tuan Ibrahim juga menyerang kerajaan Madani sebagai tidak memperkenalkan sebarang formula istimewa melainkan justifikasi untuk membenarkan dasar kerajaan.

Serangan tersebut dilemparkan ahli parlimen Kubang Kerian berkenaan tanpa dia merujuk kepada dokumen-dokumen dasar yang telah diperkenalkan oleh Putrajaya seperti Naratif Ekonomi Madani (panduan kepada hala tuju ekonomi negara bagi memudahkan tindakan oleh kementerian dan jabatan berkenaan), Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (memacu Malaysia sebagai peneraju global dalam pembangunan perindustrian), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara) dan Government Technology (memperhebat revolusi digital ke arah meningkatkan keupayaan kerajaan).

Kerajaan hadir dengan pelbagai formula baru yang futuristik melalui dokumen-dokumen berkenaan. Walaupun hasilnya masih jauh untuk dinilai namun tuduhan bahawa kerajaan memimpin tanpa memperkenalkan apa-apa idea atau formula baru adalah tuduhan yang tidak benar.

Tuan Ibrahim turut menumpukan serangan terhadap tindakan kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar melibatkan diesel. Bekas menteri itu cenderung untuk mencadangkan agar subsidi diesel secara pukal diteruskan dan kerajaan meningkatkan penguatkuasaan serta menangkap para penyeludup.

Perkara itu telah diterangkan oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, bahawa kegiatan penyeludupan diesel dan petrol sudah sebati dan menjadi pendapatan penyeludup sejak turun-temurun.

Justeru begitu sukar untuk aktiviti berkenaan dibanteras disebabkan jarak sempadan yang dekat, beban pembuktian sukar, bilangan stesen minyak yang banyak serta kekangan penguat kuasa.

Justeru jika isu penyeludupan diesel mampu dibanteras menggunakan penguatkuasaan oleh kerajaan terdahulu maka tidak mungkin budaya tersebut menjadi pekerjaan tradisi turun-temurun.

Harus difahami kerajaan Madani kini hadir dengan dasar dan pendekatan yang berbeza berbanding kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam bukunya, SCRIPT, menyatakan bahawa bagi memastikan kerajaan berjaya melalui zaman pascapandemik, pentadbiran semasa tidak boleh mengamalkan dasar business as usual.

Maka pendekatan memperkenalkan subsidi diesel secara bersasar dilihat mampu meringankan beban fiskal selain mengukuhkan kedudukan kewangan dan ekonomi negara.

Kerajaan juga memberi tumpuan kepada usaha memastikan tiada kenaikan harga yang tidak seimbang berlaku terutama melibatkan produk makanan susulan langkah baru yang diperkenalkan.

Usaha mencapai maksud tersebut telah ditangani oleh KPDN melalui penguatkuasaan Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973 yang mewajibkan peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan jualan termasuk dalam kalangan penjual di gerai makanan, pasar basah, pasar malam, restoran dan kedai runcit.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.