Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Semai budaya bawa pinggan dan cawan sendiri ke majlis keraian

Artikel ini sudah 8 hari diterbitkan

Dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menyokong kelestarian, kita sering kali diingatkan mengenai kepentingan menggunakan bahan yang mesra alam. Salah satu cara paling efektif untuk mengurangkan sisa buangan adalah dengan membawa pinggan dan cawan sendiri ke majlis keraian di tempat kerja, contohnya seperti sambutan Hari Raya Aidiladha yang baru sahaja berlalu.

Menurut laporan oleh Jabatan Alam Sekitar, Malaysia menghasilkan lebih daripada 38,000 tan sisa pepejal setiap hari, yang mana 19 peratus daripadanya adalah plastik, termasuk pinggan dan cawan pakai buang. Jumlah ini terus meningkat saban tahun, lalu memberikan tekanan yang besar kepada tapak pelupusan sampah yang sedia ada. Anggaran menunjukkan bahawa tapak pelupusan sampah di Malaysia hanya mampu menampung sisa sehingga 2025 jika tren semasa berterusan.

Pinggan dan cawan pakai buang, walaupun praktikal dan mudah digunakan, memberikan impak negatif yang besar terhadap alam sekitar. Plastik yang digunakan untuk membuat pinggan dan cawan ini mengambil masa sehingga 500 tahun untuk terurai sepenuhnya. Selama tempoh tersebut, bahan ini akan terus mencemari tanah dan air, mempengaruhi flora dan fauna setempat. Pinggan dan cawan pakai buang yang diperbuat daripada plastik sering kali terurai menjadi partikel mikroplastik. Partikel ini boleh mencemari air dan tanah, seterusnya masuk ke dalam rantai makanan.

Selain itu, kebanyakan pinggan dan cawan pakai buang diperbuat daripada polistirena (Styrofoam) yang mengandungi bahan kimia seperti stirena dan benzena. Bahan-bahan ini diketahui bersifat karsinogenik (boleh menyebabkan kanser) dan neurotoksik (berbahaya kepada sistem saraf). Stirena boleh meresap ke dalam makanan atau minuman, terutama sekali apabila digunakan dengan makanan panas.

Pinggan dan cawan pakai buang juga sering kali dilapisi dengan bahan kimia untuk menjadikannya kalis air atau minyak. Bahan kimia seperti fluorokimia yang digunakan dalam proses ini boleh meresap ke dalam makanan atau minuman. Pendedahan kepada fluorokimia dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti kerosakan hati, gangguan hormon dan penurunan kesuburan.

Sesetengah pinggan dan cawan pakai buang juga mengandungi bahan tambahan seperti plasticizer, yang ditambah untuk menjadikannya lebih fleksibel. Bahan tambahan ini boleh terurai dan mencemari makanan dan minuman, yang mana pendedahan jangka panjang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, termasuk masalah endokrin dan kesuburan.

Bukan itu sahaja kesan buruk penggunaan pinggan dan cawan pakai buang, pembakaran sampah yang mengandungi pinggan dan cawan pakai buang, terutamanya yang diperbuat daripada plastik, boleh menghasilkan dioxin. Dioxin adalah bahan kimia yang sangat toksik dan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk masalah pernafasan, gangguan hormon dan meningkatkan risiko kanser.

Mengambil langkah untuk membawa pinggan dan cawan sendiri ke majlis di tempat kerja bukan sahaja membantu mengurangkan sisa buangan, tetapi juga boleh menjadi satu cara untuk mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat dan bertanggungjawab. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kos jangka panjang yang berkaitan dengan pembelian produk pakai buang secara berterusan. Majikan boleh memainkan peranan penting dengan menyediakan menyediakan fasiliti bergerak atau sementara untuk membersihkan pinggan dan cawan, menjadikan proses ini lebih mudah dan praktikal.

Kesedaran mengenai impak negatif penggunaan pinggan dan cawan pakai buang semakin meningkat. Beberapa syarikat dan institut di Malaysia sudah mula mengamalkan dasar mesra alam ini. Contohnya, ada institut pengajian tinggi yang mengambil inisiatif melancarkan kempen bawa pinggan dan cawan sendiri semasa sambutan Hari Raya 2024 lalu. Kempen ini bukan sahaja mengurangkan sisa buangan, tetapi juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar.

Langkah-langkah kecil seperti membawa pinggan dan cawan sendiri ke majlis keraian di tempat kerja boleh memberikan impak besar dalam usaha melindungi alam sekitar. Setiap individu boleh memainkan peranan masing-masing dengan membuat pilihan yang lebih mesra alam. Di peringkat yang lebih besar, kolaborasi antara pekerja dan majikan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih hijau dan lestari boleh menjadi contoh kepada organisasi lain.

Secara keseluruhan, sokongan terhadap kelestarian tidak memerlukan perubahan drastik dalam gaya hidup. Sebaliknya, ia memerlukan kesedaran dan komitmen untuk mengambil langkah-langkah kecil tetapi bermakna dalam menjaga alam sekitar. Dengan membawa pinggan dan cawan sendiri ke majlis keraian di tempat kerja, kita boleh memberikan sumbangan yang signifikan dalam mengurangkan pencemaran dan menyokong kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.


DR ELIZAH MOHAMED ialah pensyarah kanan Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.