Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Memilih 'menu nasi kandar' di Sungai Bakap

SURAT | Tirai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap telahpun dibuka.

Ia akan memberi peluang kepada pengundi kawasan berkenaan memilih pemimpin baru selepas ia kosong disebabkan penyandangnya meninggal dunia.

Dalam 'pesta' yang berlangsung selama 14 hari ini - dan tanpa berniat untuk menghina sesiapa - pengundi hanya diberi dua pilihan iaitu sama ada memilih seorang 'cikgu' ataupun 'penyelia kilang'.

Itulah pilihan 'menu' yang ditawarkan oleh dua parti yang memasuki gelanggang kali ini iaitu PKR sebagai wakil kerajaan perpaduan, dan PN selalu penyandang merangkap pembangkang.

Mengikut konteks setempat, PRK Sungai Bakap diadakan di sebuah negeri yang terkenal dengan hidangan ikoniknya, nasi kandar. Justeru sudah tentu kempen di Seberang Perai Selatan itu tidak dapat dipisahkan dengan imej nasi kandar.

Pada umumnya tidaklah sukar untuk memilih hidangan yang dapat memberikan kenikmatan kepada diri kita apabila berdepan dengan nasi kandar.

Nasi putih dengan kuah banjir ditambah lauk seperti ayam goreng, sotong, kambing dan sebagainya sudah tentu amat menyelerakan sesiapa saja.

Sesetengah pelanggan bukan sahaja menilai kesedapan nasi kandar berdasarkan penerimaan tekak bahkan keselesaan persekitaran dan perkhidmatan yang ditawarkan di sesebuah kedai.

Ada ketikanya, penampilan pekerja yang datang mengambil pesanan atau kemesraan tauke kedai lebih menarik perhatian berbanding kesempurnaan rasa masakan.

Kira-kira begitu jugalah dalam soal memilih wakil rakyat. Pengundi di Sungai Bakap kini terbuka sama ada memilih Cikgu Joohari (Joohari Ariffin) yang diketahui ramai memiliki latar pendidikan yang tinggi dan banyak pengalaman dalam sektor awam, atau Abang Abidin (Abidin Ismail).

Calon PN itu sebelum ini diuar-uarkan berpengalaman banyak sebagai penyelia kilang dan menjadi lebih istimewa apabila memiliki sijil ISO 14001.

Pada masa sama, tanda tanya mengenai kelayakan akademik Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu masih belum terjawab secara tuntas.

Kelebihan Cikgu Joohari ketika ini ialah dia merupakan calon mewakili kerajaan, manakala Abang Abidin akan meletakkan kawasan DUN Sungai Bakap kekal sebagai tapak pembangkang.

Berada pada kedudukan sebegitu tidak akan memberi apa-apa kelebihan.


TAN YUSOF ialah pembaca Malaysiakini yang mengikuti rapat perkembangan PRK Sungai Bakap.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.