Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Isu Blackrock: Umno mengecewakan

Tahniah kepada pejuang-pejuang Umno akhirnya segala yang dibangunkan bertahun-tahun untuk rakyat khusus kaum pribumi dan orang Melayu kini bakal lebur dan menjadi milik orang. 

Lebih dahsyat lagi bakal dikuasai oleh syarikat yang bersekongkol dengan rejim Israel yang membunuh dengan kejam warga Palestin yang tidak berdosa. 

Pendirian Umno seperti yang diumum Zahid Hamidi, presiden Umno semalam membuktikan Umno bukan lagi parti yang boleh diharap untuk memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air lagi.


Baca: Penjualan saham MAHB: Itu pandangan peribadi Tok Mat, kata Zahid


Umno dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) kini tak layak dipilih untuk mentadbir negara. 

Semua bangsa tanpa mengira kaum patut sedar masa depan negara sedang digadai. 

Malaysia kini dilihat tidak lagi berpendirian dan dilihat takut kepada negara kuasa besar dengan alasan untuk memperkukuh ekonomi. 

Walaupun dahulu majoriti pemimpin Melayu mentadbir negara tetapi kepentingan rakyat dan keselamatan negara tak digadai dengan mudah apabila rakyat menolak. 

Tapi hari ini hujah rakyat tak lagi diendah, pandangan rakyat juga dikesampingkan. 

Wira Putra dahulunya beranggapan Umno boleh jadi pengimbang kepada sebarang tekanan dan keputusan kerajaan Madani tetapi pandangan itu meleset apabila presiden Umno berpendirian menyokong penjualan saham MAHB kepada GIP iaitu syarikat milik Blackrock.

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Apa lagi yang boleh diharapkan kepada pemimpin kerajaan daripada Umno kalau berada di dalam pun hanya jadi pak turut. 

Umno yang dikenali sebagai pejuang kepada Abata itu, kini tidak lagi relevan. 

Nak harap jaga agama? 

Blackrock yang secara terang-terang terlibat dengan genosid dan pembunuh saudara seislam di Palestin pun boleh diperlecehkan.

Nak harap jaga bangsa Melayu dan pribumi? 

Tak henti-henti di bibir mulut menjulang perpaduan mengikut naratif minoriti sedangkan pribumi semakin hilang suara. 

Agensi dan anak syarikat yang dahulunya membawa manfaat kepada rakyat terbanyak kini digadai dan tenggelam mengikut kehendak politik rakus PMX.

Nak harap mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air? 

Isu pembelian saham MAHB oleh Blackrock ini jelas menunjukkan bahawa ia merupakan ancaman besar terhadap masa hadapan tanah air berbanding keuntungan ekonomi kepada rakyat bagi jangka pendek.

Wira Putra tetap menyokong pendirian presiden Putra dan menolak penjualan saham MAHB kepada Blackrock. 

Parti Putra tidak akan bersetuju sebarang agenda yang mengancam kepentingan dan keselamatan agama, bangsa dan negara. 


NASRUL ALI HASAN ABDUL LATIF ialah ketua pergerakan Wira Putra.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.