Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kedangkalan PAS memahami isu WCR 2024

SURAT | PAS Selangor membidas kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim sebagai gagal akibat kejatuhan Malaysia dalam ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2024.

Ketua penerangannya, Zurk Ahmad, mendakwa kerajaan tidak mempunyai hala tuju ekonomi yang jelas dan mapan, serta banyak masalah fundamental dan struktur dalam pelaksanaan Ekonomi Madani.

Kejatuhan Malaysia dalam kedudukan WCR 2024 dianggap oleh PAS Selangor sebagai bukti bahawa kegusaran serta kegelisahan rakyat Malaysia - khususnya di Selangor - sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Madani selama ini berasas dan bukannya sentimen atau persepsi media.

Zurk kemudian menasihatkan kerajaan merujuk pimpinan PN yang dilihatnya berjaya mentadbir negara dengan cemerlang ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

Perkara ini perlu difahami melalui lensa yang lebih luas. Terdapat tiga isu utama yang menjatuhkan Malaysia dalam kedudukan WCR 2024 iaitu prestasi ringgit, pengurusan ekonomi dan penyasaran subsidi.

Berkenaan isu prestasi ringgit, Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan bahawa mata wang negara sedang mengalami peningkatan yang mendorongnya berada pada kedudukan pertama berbanding sembilan mata wang negara serantau lain.

Perkara itu dapat dicapai oleh kerajaan melalui usaha menarik minat pelabur kepada aset-aset tempatan.

Perlu diingat bahawa kejatuhan ringgit adalah hasil sumbangan kepimpinan PN yang rakus merangkul kuasa sehingga pelabur asing tidak yakin dengan kestabilan ekonomi negara.

Pada zaman kerajaan PN, syarikat gergasi Korea Selatan, Hyundai, menutup ibu pejabat wilayah rantau Asia Pasifik di Malaysia dan berpindah ke Indonesia.

IBM pula menutup pusat penyampaian globalnya di Cyberjaya untuk berpindah ke Singapura, manakala syarikat minyak global, Shell, memindahkan operasi dari Cyberjaya ke India.

Gagal dilaksanakan dulu

Kehilangan pelabur berkepentingan itu memberi kesan kepada kedudukan ringgit dan seterusnya kedudukan Malaysia dalam WCR 2024.

Isu kedua yang menggugat kedudukan Malaysia dalam WCR 2024 ialah berkenaan pengurusan ekonomi. Isu itu telah diterangkan oleh Anwar iaitu kerajaan tetap mempertahankan perlaksanaan Skim Tunai Rahmah (STR) dan i-Sara dalam keadaan perbelanjaan negara yang defisit.

Langkah itu diambil, katanya, demi memikirkan kepentingan rakyat walaupun kerajaan boleh sahaja memansuhkan perlaksanaan STR dan i-Sara pada tahun ini dengan justifikasi untuk memastikan perbelanjaan berimbang.

Namun asas ihsan, kerajaan Madani tidak membenarkan rakyat terus ditekan dengan isu kos sara hidup. Anwar berani berhadapan dengan kejatuhan kedudukan Malaysia dalam WCR 2024 bebanding menekan emosi dan perasaan rakyat dalam berhadapan dengan isu kos sara hidup.

Sekurang-kurang dasar yang diamalkan oleh Putrajaya tidak menyentuh hasil simpanan rakyat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga memberi beban kewangan kepada kerajaan berikutan peningkatan kos kesihatan dan program sosial untuk menampung keperluan golongan yang tidak mempunyai simpanan hari tua.

Isu terakhir yang menggugat kedudukan Malaysia dalam WCR 2024 ialah penyasaran subsidi.

Anwar mengakui kelewatan melaksanakan dasar penyasaran subsidi menjadi punca kejatuhan Malaysia dalam WCR 2024. Namun keberanian kerajaan dalam melaksanakan dasar penyasaran subsidi perlu dipuji.

Langkah tersebut gagal dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Dasar tersebut sebenarnya sudah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun dahulu namun tidak dilaksana kerana kepemimpinan lebih memikirkan soal kelangsungan politik, di samping faktor penyasaran subsidi yang tidak mudah dijayakan.

Perdana Menteri sendiri mengakui perkara itu dibincang semenjak dia menjadi menteri kewangan buat kali pertama.

Namun demi memastikan keutuhan ekonomi Malaysia dapat dikekalkan maka Anwar kini berani berhadapan dengan kritikan dengan melaksanakan dasar yang tidak popular.

Walaupun sedikit lewat, namun ia adalah lebih baik daripada terus menangguhkan perlaksanaan dasar berkenaan.

PAS Selangor seharusnya melihat kejatuhan kedudukan Malaysia dalam WCR 2024 sebagai implikasi yang perlu ditanggung oleh kerajaan Madani akibat kelemahan pentadbiran mereka sebelum ini.

Kejatuhan ranking sekarang adalah bersifat sementara memandangkan Malaysia sedang dalam usaha melaksanakan beberapa dasar penting seperti Naratif Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baru 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Government Technology.

Berilah ruang dan masa secukupnya untuk Putrajaya melaksanakan proses reformasi yang dijanjikan. Kemudian Malaysia pasti akan kembali memperbaiki kedudukan dalam WCR tidak lama lagi.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.