Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Demonstrasi perlu diiringi sikap tanggungjawab

Demonstrasi yang dianjurkan oleh pihak tertentu di Putrajaya semalam (29 Jun 2024) adalah bukti bahawa Malaysia terus mengamalkan ruang demokrasi yang sihat, di mana setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka secara bebas dan terbuka.

Kerajaan Madanni, di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), sentiasa berpegang kepada prinsip-prinsip yang diperjuangkan parti secara khususnya dan Pakatan Harapan secara amnya, termasuk kebebasan bersuara.

Walaupun sambutan terhadap demonstrasi tersebut tidak begitu menggalakkan, namun perlu diingatkan bahawa kebebasan bersuara mesti diiringi dengan sikap bertanggungjawab dan penganjur juga perlu mematuhi semua peruntukan undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada masa yang sama, ucapan menghasut, memfitnah dan menghina pimpinan negara termasuk YAB Perdana Menteri tidak boleh diterima kerana tindakan sedemikian bukan sahaja merosakkan reputasi individu, tetapi juga mencemarkan suasana harmoni dan demokrasi yang kita perjuangkan selama ini.

Saya yakin Kerajaan Madani komited mendengar pandangan rakyat dan sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina kerana setiap pandangan yang disuarakan dengan adil dan beretika boleh menyumbang kepada proses pembangunan negara. Sehubungan itu, semua pihak perlu menggalakkan dan memupuk budaya diskusi yang sihat berpaksikan sikap saling menghormati dan bertanggungjawab.

Dalam masa yang sama, semua pihak perlu memastikan perbincangan dan kritikan secara terbuka tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti sentimen 3R (kaum, agama dan raja) demi untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan keamanan negara.

Tatkala negara berhadapan pelbagai cabaran ekonomi dan geopolitik di peringkat serantau dan global, rakyat seharusnya bersatu dan berganding bahu untuk menyokong Kerajaan Perpaduan menjadikan Malaysia lebih baik, aman dan sejahtera untuk kita semua serta generasi akan datang.

Saban hari, YAB Perdana Menteri dan kepimpinan negara sentiasa berusaha keras memenuhi mandat rakyat dengan memperkenalkan dasar-dasar yang inklusif dan berkesan demi kebaikan semua.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu melihat kepada usaha serta pencapaian kerajaan yang diiktiraf pelbagai pihak dan bukannya terpengaruh dengan momokan dan fitnah yang dilemparkan tanpa disokong maklumat dan fakta yang tepat.


MANIVANAN GOWIN ialah Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan bekas Ahli Parlimen Kapar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.