Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Rakyat tetap bersama The Red Giants

SURAT | Malaysian Football League (MFL) telah menghukum pasukan Selangor FC berhubung kes ketidakhadiran pasukan tersebut ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei 2024.

Selangor FC telah memohon penangguhan untuk perlawanan tersebut kerana pemain utamanya, Faisal Halim, disimbah asid pada 5 Mei sehingga menyebabkan kelecuran pada badannya.

Tindakan MFL mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana pasukan itu didenda RM 100 000, perlu membayar pampasan, pemotongan tiga mata, dan perlawanan tanpa penonton.

Seluruh rakyat Selangor bersimpati dengan nasib yang menimpa Faisal, justeru apabila pihak pengurusan The Red Giant membuat keputusan tidak menyertai Piala Sumbangsih (selepas permohonan penangguhan ditolak oleh MFL) maka keputusan tersebut tidak dipertikaikan oleh penyokong.

Malah Sultan Sharafuddin memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC kerana berpandangan bahawa nyawa dan keselamatan pemain adalah suatu keutamaan.

Sesungguhnya seluruh rakyat Selangor sangat bertuah kerana berada di bawah pemerintahan sultan yang prihatin seperti Sultan Sharafuddin.

Seluruh rakyat Selangor juga mempertahankan tindakan baginda yang secara terbuka menzahirkan kemurkaan terhadap MFL yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, tiada ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin.

Mana mungkin keputusan The Red Giant yang mementingkan keselamatan ahli pasukannya dibalas dengan hukuman yang sangat zalim?

The Red Giant kehilangan tiga mata awal kerana tidak menyertai Piala Sumbangsih.

Adakah kehilangan tiga mata tersebut tidak cukup untuk menghukum The Red Giant?

Kami bukan sahaja bersolidariti menolak kezaliman yang menimpa Faisal, bahkan mempertahankan kedudukan Sultan Sharafuddin atas penghinaan dan sindiran yang dilemparkan kepada baginda.

Penghinaan terhadap Tuanku Sultan Selangor bermakna penghinaan terhadap negeri dan seluruh rakyat.

Seharusnya kemurkaan Tuanku Sultan Selangor difahami kerana baginda tidak berniat untuk memalukan mana-mana individu.

Baginda hanya mempertahankan hak dan keadilan untuk The Red Giant.

Peraturan dalam permainan catur seharusnya dihayati dalam situasi ini iaitu “you can't kill a king with another king”.

Pujian seharusnya diberikan kepada seluruh kepimpinan kerajaan negeri yang menggerakkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC.

Tabung tersebut berjaya mengutip melebihi jumlah denda RM60,000 yang dikenakan terhadap Selangor FC.

Lebih mengharukan apabila tiga Adun Selangor (Rizam Ismail, Altimet dan Muhammad Izuan Ahmad Kasim) mengumumkan sumbangan separuh gaji mereka untuk membantu Selangor FC membiayai denda dikenakan MFL.

Sesungguhnya insiden tersebut tidak sekali-kali melemahkan semangat juang The Red Giant, malah memangkin keazaman lebih tinggi untuk mengondol Piala FA 2024/2025.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.