Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pelabuhan Ketiga Carey mampu jadikan Selangor hub utama perdagangan antarabangsa

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

SURAT | Lanjutan daripada laporan SelangorKini 'Pelabuhan Klang jadi pilihan selepas kesesakan kontena di Singapura' agak selari dengan perbahasan yang telah saya sampaikan di dalam Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS1) pada 5 Julai 2024 berkenaan dengan perancangan kerajaan negeri Selangor untuk mewujudkan pelabuhan ketiga di Pulau Carey.

Umum mengetahui, Pelabuhan Klang kini menjadi salah satu pusat hub logistik utama sekian lama yang menjana pendapatan yang tinggi kepada negeri juga negara.

Namun, melihat kepada keperluan masa yang panjang bagi proses penubuhan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, saya memuji tindakan kerajaan di dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS1) ini, kerajaan mengambil langkah untuk mengembangkan kapasiti Pelabuhan Klang sedia ada di Westport 2.

Kesesakan dermaga di Singapura kini, memberikan kelebihan kepada Pelabuhan Klang dijadikan pilihan untuk pendaratan kontena yang awalnya mengambil masa yang lama, hanya memerlukan tempoh yang lebih singkat di Pelabuhan Klang.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports Holdings Bhd Ruben Emir Gnanalingam Abdullah menyebut Westports telah melancarkan kemasukan bagi mengelakkan kesesakan di kawasan dermaga, mengutamakan kapal yang membawa jumlah muatan yang lebih tinggi dan bekerjasama rapat dengan pengimport dan syarikat pengangkutan untuk mempercepatkan pelepasan kontena sebagai strategi menangani isu tersebut.

Saya berharap agar projek penaiktarafan Westport 2 ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari semua agensi di negeri Selangor agar ia dapat dilaksanakan mengikut jadual, agar kita boleh menampung kesesakan di Singapura, seterusnya menjadikan Pelabuhan Klang sebagai destinasi utama perdagangan antarabangsa.

Peluang yang ada ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk meningkatkan pendapatan dermaga seterusnya hasil kepada negeri.

Pelabuhan Klang perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, walaupun penaiktarafan Westport 2 belum dilaksanakan sepenuhnya, Pelabuhan Klang perlu membuat penambahbaikan jangka pendek agar keperluan perdagangan ini dapat dimanfaatkan.

Kehadapan, saya menyokong penuh penubuhan Pelabuhan Ketiga Carey agar Negeri Selangor menjadi hub utama perdagangan antarabangsa sekaligus selari dengan penubuhan Shah Alam International Logistics Hub SAILH di Shah Alam yang bakal mengembangkan ekonomi setempat.

Memandangkan DUN Batu Tiga merupakan hub ekonomi di ibu negeri Selangor, saya bersedia bekerjasama menyumbangkan idea baharu bagi meningkatkan ekonomi negeri, tanpa mengenepikan pembangunan aspek sosial di Shah Alam.


DANIAL AL-RASHID ialah Adun Batu Tiga

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.