Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Zaman politik dominan sudah berakhir

SURAT | Memahami maksud yang ingin disampaikan oleh ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas ahli parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed mudah difahami oleh semua pihak.

Meskipun kenyataan itu amat memedihkan, tujuan kenyataan bahawa Amanah dan PKR tidak layak terlibat dalam percaturan politik utama baik Malaysia dan Negeri Johor dilihat untuk mengukuhkan kesepaduan Kerajaan Perpaduan menuju PRU ke-16 dengan erti kata Amanah dan PKR perlu sedar diri.

Mungkin kenyataan tersebut dikeluarkan memandangkan sebelum PRK DUN Mahkota bermula, Amanah menuntut kerusi itu ditandingi oleh mereka memandangkan Johor belum mewujudkan Kerajaan Perpaduan.

Selepas kemenangan bergaya calon BN di sana, Amanah kembali lagi menuntut Kerajaan Perpaduan dibentuk segera di Johor. Tuntutan inilah yang mungkin menjadi sebab Ketua Umno Bahagian Pulai itu memberikan maklum balas yang memeritkan hati penyokong Amanah serta PKR.

Benar, Umno dan DAP merupakan parti yang mempunyai kekuatan asas yang baik dalam politik Malaysia. Ia juga seiring dengan usia kedua-dua parti tersebut berpuluh tahun. Amanah dan PKR pula, merupakan parti yang muda dalam politik Malaysia, khususnya Amanah yang baru mencecah sembilan tahun.

Namun hakikat yang perlu disedari bahawa meskipun Umno dan DAP mempunyai asas yang kuat, zaman atau gaya politik dominan oleh sesebuah parti dalam sesebuah gabungan telah pun berakhir.

Maksudnya, untuk menjadikan setiap percaturan politik Malaysia disusun hanya oleh parti yang dominan atau kuat, tidak lagi relevan dalam politik hari ini. Hal ini demikian kerana, Umno misalnya yang mempunyai asas yang kuat masih memerlukan rakan perkongsian untuk menjadi kerajaan pasca PRU tahun 2018.

Begitu juga dengan PKR dan DAP serta Amanah dalam PH, mereka juga tidak berupaya menubuhkan kerajaan sendiri tanpa rakan kongsi seperti Bersatu dan Warisan satu masa dahulu.

Rentetan kerjasama politik membentuk kerajaan ini berlanjutan sehingga ke hari ini, beberapa negeri termasuk Pahang dan Perak memerlukan kerjasama politik bagi membolehkan Umno dimahkotakan sebagai menteri besar.

Bukankah setiap kerjasama itu PKR dan Amanah terlibat sama? Ertinya walau parti itu kecil dan mentah sekali pun, ia tetap berpengaruh menentukan untung nasib rakan sekelilingnya.

Perubahan sikap yang lebih terbuka dan maklumat yang banyak telah meletakkan aspek persefahaman antara parti politik terlaksana. DAP sekalipun yang mempunyai kekuatan tersendiri bersikap toleransi dan memahami konteks politik hari ini perlukan kerjasama daripada pihak lain.

Oleh itu, setiap parti yang wujud dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh dianggap pemain simpanan kerana mereka juga mempunyai nilai tambah atas ketumbukan Kerajaan Perpaduan.

Sama juga selepas PRU ke-15, PH yang mempunyai 82 kerusi dijumlahkan dengan kerusi PKR dan Amanah. Jika PKR ataupun Amanah enggan menubuhkan kerajaan bersama BN, mampukah kita duduk sebagai kerajaan hari ini? Atau sebaliknya jika Umno dan BN enggan bekerjasama dengan PH, dapatkah PH dan BN membentuk kerajaan memandangkan jumlah kerusi PH dan BN apabila digabungkan genap mencukupi majoriti mudah membentuk kerajaan. Barulah selepas itu didorong oleh keyakinan GRS, GPS dan Warisan.

Jelas, dalam politik hari ini, tiada parti yang mendominasi dan parti tertentu sahaja mampu mencatur politik mereka. Sebaliknya semua parti diperlukan untuk membentuk satu politik yang padu, stabil dan bersih.

Sebab itu kenyataan Nur Jazlan yang juga timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu dibuat berdasarkan kekuatan parti yang dirujuk semata-mata, namun apabila ia diadunkan dengan konteks realiti politik semasa, ia jauh tidak berasas dan tidak relevan.

Mana mungkin hanya Amanah dan PKR sahaja yang perlu sedar diri dan merendah diri semata-mata. Sebaliknya semua parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Umno juga mesti sedar dan merendah diri atas hakikat mereka saling memerlukan.


Penulis merupakan pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.