Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Bagaimana AS memilih presiden

SURAT | Hakikatnya presiden Amerika Syarikat tidak dipilih berdasarkan jumlah undi popular yang diperolehi daripada rakyatnya.  

Jika undi popular yang dijadikan ukuran, maka Donald Trump tidak akan dipilih menjadi presiden pada 2016 kerana dia hanya memperolehi 46.09 peratus undi sahaja berbanding Hillary Clinton yang meraih 48.18 peratus undi.  

Namun Trump telah mencukupkan 304 undi elektoral (electoral college) ketimbang Hillary yang hanya memperolehi 227 undi elektoral.   

Bagaimana undi elektoral ini ditentukan?  

Kita ambil contoh salah satu negeri yang diberikan perhatian, iaitu Pennsylvania yang mempunyai 19 undi elektoral.

Jumlah tersebut merangkumi 17 ahli kongres Amerika Syarikat yang dipilih mewakili negeri tersebut. Baki daripadanya dicukupkan dengan kuota dua ahli yang mengisi kerusi senat Amerika Syarikat. Setiap negeri di Amerika Syarikat diwakili dua senator.  

Selepas keputusan pilihan raya presiden dimuktamadkan, setiap negeri akan mengeluarkan sijil untuk mengesahkannya sebelum pemilih (electors) ditentukan.  

Para pemilih ini kemudian akan membuat undian di ibu negeri masing-masing. Undian tersebut dibuat berdasarkan kepada kecenderungan penduduk negeri tersebut kepada calon tertentu.  

Setiap pemilih mewakili satu undi elektoral dan mereka ditentukan oleh parti yang diwakili calon yang menang di negeri tersebut.   

Sebagai contoh jika penduduk Pennsylvania cenderung kepada Kamala Harris, maka sembilan belas pemilih berkenaan akan mengundi untuk Harris.  

Setelah setiap negeri mengeluarkan sijil mengesahkan calon pilihannya, Kongres Amerika Syarikat akan bersidang pada 6 Januari 2025 untuk mengesahkan jumlah undi elektoral yang diterima untuk setiap calon presiden serta naib presiden.

Walaupun begitu, secara umum keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat telah diketahui umum sebelum pengumuman rasmi di Capitol Hill, Washington DC. 

Antaranya ialah peranan media yang telah mengisytiharkan kemenangan calon. 

Sehingga 2020, unjuran keputusan pilihan raya yang dilakukan oleh agensi serta pengamal media di Amerika Syarikat dirujuk berdasarkan kepada exit polls (tinjauan sebaik selepas pengundian) selalu dijadikan rujukan. 

Exit polls secara ringkas diperolehi hasil daripada tinjauan rawak membabitkan pengundi yang dirangkumkan dalam jumlah sampel tertentu. Tinjauan ini dilakukan selepas undian dilakukan.  

Tidak mustahil unjuran berdasarkan exit polls ini akan digunakan dalam liputan serta analisis pilihan raya di negara kita selepas ini. 

Pilihan raya presiden pada tahun 2020 telah berlangsung dengan sengit sehingga unjuran ini tidak dirujuk dalam liputan media Amerika Syarikat pada ketika itu. 

Bahkan analisis pilihan raya telah mula diperincikan berdasarkan kepada daerah tertentu di dalam sesebuah negeri. Keadaan ini dirumitkan dengan bantahan daripada Trump ketika itu. 

Dengan kehangatan kempen Harris serta Trump ketika ini, tidak mustahil akan ada drama baru yang menarik perhatian masyarakat dunia selepas ini. 

Secara realistiknya kita tidak boleh bersandar kepada pilihan yang akan dibuat rakyat Amerika untuk menentukan masa depan kita. 

Ini kerana mereka ada pertimbangan yang tidak semestinya selari dengan aspirasi masyarakat sejagat, seperti mana yang berlaku ketika George W Bush dan Trump dipilih sebagai presiden sebelum ini.

Ini belum ditambah dengan faktor percaturan di sebalik tabir yang dikaitkan dengan kelompok pelobi dengan pelbagai kepentingan. 

Namun begitu, dengan memahami hakikat ini ia seharusnya menjadikan kita lebih realistik dan bersedia untuk berpijak pada bumi yang nyata. 

Persoalan siapa di antara Harris atau Trump adalah di luar jangkauan serta kemampuan kita. 

Persoalan yang lebih penting perlu kita jawab ialah apa yang boleh kita sendiri lakukan, khususnya untuk menghadapi kesan daripada kecamukan geopolitik dan ekonomi dunia susulan siapa sahaja yang bakal menjadi presiden Amerika Syarikat ke-47. 


FIRDAUS HAMSIN adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.