Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon BN: Dakwaan Mahathir tak jejas sokongan PAS

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

PRK SEMENYIH | Calon BN, Zakaria Hanafi menyifatkan pertemuan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang tidak menjejaskan kerjasama serta kempen pembangkang di Semenyih.

Malah kata bekas kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia itu, dia menyifatkan pertemuan tersebut sebagai perjumpaan bersifat peribadi.

Katanya, elok kalau pihak yang berkenaan saja mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan apa yang berlaku dalam pertemuan tersebut.

Namun kata Zakaria, 58, di peringkat bawahan kerjasama masih berlangsung seperti biasa dan jentera PAS hadir dalam setiap program BN.

"Perbincangan-perbincangan juga terus bergerak, gerak kerja, kami bermesyuarat di peringkat negeri dan itu tak terjejas," katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Pajam, Semenyih, hari ini.

Zakaria berkata, jentera PAS memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kemenangan BN dengan komitmen penuh yang diberikan.

Semalam, Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu mendakwa Abdul Hadi memberi pengesahan bahawa PAS tidak akan menyokong BN pada PRK Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Hari ini Mahathir terus mengulangi dakwaannya itu dan berkata beliau terpaksa mendedahkannya kerana parti Islam itu telah mungkir janji.

Bagaimanapun dakwaan Mahathir itu dinafikan Samsuri yang mendakwa pertemuan di Yayasan al-Bukhary itu hanya berkisar soal pemerkasaan Melayu, agenda Islam dan royalti petroleum.

Sementara itu, Zakaria berkata dia yakin sokongan pengundi Semenyih akan kembali kepada BN khususnya daripada pengundi muda yang mula sedar.

Selain itu Zakaria juga yakin kelebihan memihak kepadanya memandangkan dia anak orang Kampung Beranang yang lebih mengetahui aspirasi rakyat kawasan itu.

Malah katanya sokongan itu juga melibatkan imam setempat.

"Kebanyakan imam yang saya jumpa, alhamdulillah (menyokong)," katanya.