Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan PAS cuma desas-desus tak dirancang rapi

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Rais Hussin Mohamed Ariff menyangkal dakwaan PAS yang mendakwa PH bercadang untuk menyingkirkan Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan perdana menteri.

Bercakap kepada Malaysiakini Rais Hussin berkata tiada bukti yang menunjukkan dakwaan pembangkang itu adalah benar sebaliknya ia bersifat spekulasi.

"Kalaupun ada yang seumpamanya, ia hanya khabar angin yang dirancang dengan sangat lemah.

"Ketika ini perpaduan PH sangat kuat... ia dapat kita lihat melalui cara mereka bekerjasama dengan erat dalam semua PRK," katanya ketika dihubungi semalam.

Selain Rais Hussin, pimpinan DAP, PKR dan Amanah - yang membentuk PH - turut menafikan dakwaan PAS berkenaan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menanggap isu yang dinyatakan PAS sebagai fitnah dan penipuan, manakala Presiden PKR Anwar Ibrahim menuduh parti pembangkang itu mencipta isu bagi mengalih perhatian rakyat daripada persoalan mengenai dana RM90 juta yang dikatakan diberi Umno.

Dakwaan terhadap PAS itu sedang disiasat pihak berkuasa.

Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir pula dipetik Utusan Online sebagai berkata parti itu menyokong penuh kepemimpinan Mahathir.

Fokus kemahuan rakyat

Ahad lalu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa ada dua parti komponen PH - yang tidak dinamakannya - cuba mengemukakan usul tidak percaya terhadap Mahathir di parlimen.

Justeru, katanya, kerana itulah PAS menandatangani ikrar sokongan kepada perdana menteri jika ada sesuatu yang dilakukan terhadapnya.

Sejak itu - dan ketika kempen PRK Semenyih semakin hangat dipergiatkan - kepemimpinan PAS secara berterusan menimbulkan isu berkenaan.

Kata Rais Hussin, Mahathir dan anggota kabinetnya kini sedang sibuk membangunkan semula negara sejak majoriti rakyat di negara ini memberikan mandat kepada PH pada Mei tahun lalu.

Beliau yang juga pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu menambah kerajaan tidak wajar diganggu dengan dakwaan seperti yang dibuat PAS.

"Terlalu banyak tugas yang perlu dilakukan serta sedang dilakukan bagi merealisasikan kemahuan rakyat.

"Usaha keras itu selaras dengan apa yang rakyat inginkan.

"Maknanya pengukuhan institusi demokratik untuk menjaga kepentingan orang ramai, mengutamakan rakyat dan mendengar apa yang mereka harapkan adalah langkah untuk membina semula Malaysia.

"Isu lain seperti politiking hanyalah gangguan yang tidak berbaloi untuk diberi perhatian oleh Mahathir atau PH.

"Kita harus kekal fokus untuk memberikan apa yang dikehendaki rakyat dan mengembalikan kegemilangan Malaysia," katanya.

[Baca berita penuh]