Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib belum tahu butiran RCI campur tangan hakim

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau belum mengetahui butiran penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti tuduhan campur tangan dalam kehakiman.

Sebaliknya, beliau memilih untuk mengetahui lebih lanjut mengenai suruhanjaya yang bakal dibentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu terlebih dahulu.

"Saya tak tahu butir-butirnya lagi. Belum tahu lagi apa-apa," katanya kepada pemberita selepas program Sembang Santai Bossku di Bangi hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas sokongannya terhadap cadangan penubuhan yang diumumkan oleh kerajaan semalam.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan membentuk RCI berkenaan tetapi terma rujukan suruhanjaya itu belum diputuskan.

Dalam affidavit 65 halaman yang difailkan Khamis lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer mendakwa wujudnya kepincangan dan salah laku dalam badan kehakiman.

Antara dakwaannya terdapat hakim-hakim tertentu bersubahat dengan ahli politik dan sektor swasta untuk menipu duit rakyat.

Antara yang menyatakan sokongan terhadap penubuhan suurhanjaya itu adalah bekas menteri Umno Nazri Abdul Aziz dan bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan.