Ganjaran RM10,000 untuk kesan bekas suami Indira
Kumpulan Indira Gandhi Action Tema (Ingat) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat mengenai bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah yang meninggalkan rumah bersama anak perempuan mereka berusia 11 bulan, Prasana Diksa pada tahun 2009.
Ganjaran bernilai RM10,000 itu dibuat selepas hampir 10 tahun Riduan mengambil Prasana dan secara sepihak menukar tiga agama anaknya kepada Islam pada tahun 2009.
"Kami menawarkan RM10,000 kepada sesiapa sahaja yang mampu memberi maklumat yang membawa kepada penangkapan Riduan," kata pengerusi Ingat Arun Dorasamy pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.
Dua adik beradik Prasana tinggal dengan Indira, namun lokasi Riduan dan Prasana masih tidak diketahui.
Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan penukaran agama satu pihak menyalahi undang-undang pada Januari tahun lepas.
Bercakap kepada media, Indira berkata beliau berharap usaha itu akan berhasil tidak lama lagi.
"Ada desas-desus bahawa dia (Diksa) telah dianiaya. Tanpa ibunya di sebelahnya, bayangkan traumanya. Dia akan berumur 12 tahun. Dan dengan banyak kes rogol dan penderaan, saya harap semua kesukaran ini akan berakhir," katanya.
Baca: Anak Indira didakwa tak pernah ke sekolah sejak 11 tahun lalu
Ingat juga dijangka memfailkan usul menghina mahkamah dan perintah mandamus minggu depan untuk memaksa Ketua Polis Negara menahan Riduan.
"Saya telah beritahu rakan-rakan polis bahawa kami akan hargai jika polis dapat menubuhkan pasukan petugas untuk mengesan Riduan.
"Kami beri mereka sedikit masa tapi tidak berhasil, jadi kami tidak mempunyai pilihan selain memfailkan tindakan menghina mahkamah terhadap IGP kerana tidak melaksanakan perintah itu," katanya.
Kes perundangan yang panjang antara Riduan dan Indira melibatkan mahkamah syariah dan sivil.
Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran tangkap terhadap Riduan pada tahun 2014, namun sehingga kini polis masih belum menemuinya.
Arun berkata terdapat khabar angin bahawa Riduan tinggal di Selatan Thailand tetapi mereka tidak dapat mengesahkan perkara itu.
"Hanya pihak polis yang boleh beritahu kami, jika mereka tidak bergerak (mencari), ia akan menjadi satu ketidakadilan besar terhadap gadis itu," katanya.
Tiada dalam data pendidikan
Sementara itu Ingat juga mendakwa nombor MyKid Prasana telah ditukar, menyebabkan usaha untuk mengesan lokasinya semakin sukar.
Mereka mendakwa ini kerana rekod Prasana tidak ditemui dalam pengkalan data Kementerian Pelajaran.
"Daripada pasukan siasatan kami, kami tahu dia tidak ditemui dalam mana-mana pengkalan data sistem pendidikan. Jika Ridhuan membawanya ke mana-mana, dia pastinya mendaftarkan persekolahan menggunakan nombor MyKid sedia ada.
"Kami syak ada langkah mengeluarkan nombor pengenalan baru secara tidak sah, dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," kata Arun.
Justeru, Indira berkata dia telah membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap JPN, KDN serta bekas menterinya Ahmad Zahid Hamidi.
Malaysiakini telah menghubungi Zahid untuk memberi respons berkenaan dakwaan itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai