Skip to main
Logo Malaysiakini

RCI siasat kes kubur Wang Kelian dijangka 6 bulan

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis tiga tahun lepas, dijangka melengkapkan siasatan dalam masa enam bulan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pelantikan kesemua anggota RCI tersebut sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan beliau akan menemui mereka minggu depan untuk taklimat memulakan tugas.

"Siasatan akan ambil masa enam bulan dan laporan lengkap akan serah kepada kementerian saya untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program derma darah anjuran Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation dengan kerjasama Pusat Darah Negara, di sini hari ini.

Pada Mei 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

- Bernama