Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda Umno saran orang ramai bagi gula-gula Hacks pada pemimpin PH

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

PRK SEMENYIH | Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki ada cara unik jika orang ramai mahu menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pengumuman Bantuan Sara Hidup (BSH) wang tunai RM100 kepada individu bujang baru-baru ini.

Dalam salah satu kempen BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, dia mencadangkan oang ramai membeli dua biji gula-gula Hacks, dan menghadiahkannya kepada mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“[...] Dulu kata BR1M dedak, ulama Parti Amanah Negara (PAN) kata haram menerima BR1M, (sekarang) dia tukar BR1M kepada basah! (BSH).

“Kalau kita ikut dia (PH) punya cara pengiraan dulu, satu hari berapa? 27 sen. Saya cakap semalam, kita di Semenyih ni saya harap semua beli gula-gula Hacks 20 sen. Dapat berapa? Dapat 2 biji.

“Jumpa saja pemimpin-pemimpin PH, bagi mereka. Ini adalah hasil daripada perjuangan mereka. (Cakap) ‘Kami mengucapkan terima kasih kerana memperkenalkan semula BR1M atas nama basah (BSH), dan inilah hasilnya- gula-gula Hacks 20 sen,” katanya.

Dia berkata demikian pada majlis Ceramah Perdana Pentas Anak Muda di padang sepak takraw pusat daerah mengundi (PDM) Kantan Permai, semalam.

Tak rela jadi 'Tipah Tertipu'

Asyraf merujuk kepada cara pengiraan yang digunakan oleh PH untuk mengkritik sumbangan BR1M oleh BN (ketika masih berkuasa), iaitu dengan membahagikan jumlah sumbangan dengan bilangan 365 hari dalam setahun.

Pada 19 Februari lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pemberian wang tunai RM100 kepada individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH 2018.

Keputusan itu, jelas Lim, dibuat atas saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Muhyiddin Yassin.

Sekiranya jumlah BSH untuk orang bujang sebanyak RM100 dibahagikan dengan 365 hari, nilai yang diperoleh adalah kira-kira 27 sen.

Untuk rekod, sumbangan BR1M untuk golongan bujang pada era BN ialah sebanyak RM450.

Bagaimanapun peruntukan tersebut dimansuhkan dan tidak dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang dibetangkan pada 2 November tahun lalu.

Kata Asyraf lagi, rakyat akan terus diperbodohkan sekiranya terus mengambil sikap mendiamkan diri tanpa memberikan isyarat kepada PH.

“Sebab itu saya kata, PRK Semenyih ini ‘bukan beshe beshe’ (bukan biasa-biasa), ia PRK yang penting untuk kita memberikan isyarat kepada kerajaan bahawa rakyat sudah cerdik, pandai dan bijaksana.

“(Perlu) untuk menyatakan bahawa kita tidak rela menjadi ‘Tipah tertipu’,” tambahnya lagi.

'Tipah tertipu' merujuk dialog seorang watak gadis yang terpedaya lalu dinodai lelaki dalam filem Ali Setan.

Ceramah Perdana tersebut turut dihadiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Pemuda Parti Ikatan, Shahir Adnan; Ketua Pemuda Parti Berjasa, Iqbal Hakim Abdul Razak serta Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia Shahril Sufian Hamdan.