Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya cuma nyatakan sentimen akar umbi'

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz berkata ucapannya yang menyentuh tentang peguam negara bukan dari kalangan orang Islam, hanya memberikan gambaran sentimen akar umbi.

"Apa yang saya kata tentang peguam negara, saya hanya nyatakan bahawa di peringkat akar umbi, ada kebimbangan dalam kalangan orang Melayu bahawa sekiranya AG bukan bumiputera atau Melayu, mereka risau ada keberpihakan.

"Dan ini berlaku," kata Nazri dengan memberi contoh kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ketika bertugas dalam insiden rusuhan Nov lalu.

Nazri mendakwa, empat individu yang sebelum ini didakwa mencederakan Muhammad Adib, namun dakwaan berkenaan digugurkan selepas anggota bomba berkenaan meninggal dunia.

"Ia menyebabkan keresahan dalam kalangan akar umbi Melayu. Jadi jika saya mengatakan sesuatu yang sedang terjadi di peringkat akar umbi, ia bukan hasutan.

"Saya hanya menyatakan fakta. Saya tidak arahkan mana-mana pihak untuk buat sesuatu," katanya.

Untuk rekod, dakwaan Nazri tidak tepat. Empat individu berkenaan yang dirujuk Nazri tidak pernah didakwa.

Sebaliknya, polis menyiasat keempat-empat individu itu atas dakwaan menyerang Muhammad Adib, namun selepas anggota bomba berkenaan meninggal dunia, polis mengkategorikan kes berkenaan sebagai kes bunuh.

Punca kematian Muhammad Adib ketika ini sedang disiasat oleh Mahkamah Koroner.

Kenyataan Nazri yang menjadi pertikaian dibuat ketika bekas menteri itu berucap dalam satu program di Beranang, pada Sabtu lalu.

Selain peguam negara, Nazri turut menyentuh tentang ketua hakim negara dan menteri kewangan yang bukan dari kalangan orang Islam,

Nazri mendakwa orang Melayu tidak yakin kepada ketiga-tiga pemegang jawatan ini kerana mereka tidak mengangkat sumpah jawatan dengan Al Quran ketika dilantik dahulu.

[Baca berita asal]