Skip to main
Logo Malaysiakini

Nasrudin: Sokongan berbeza pada BN maksud kempen lebih hebat

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

PRK SEMENYIH | PAS menterjemahkan maksud 'sokongan berbeza' kepada Umno pada Pilhan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dengan menggerakkan jentera kempen dengan lebih hebat.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata kerjasama dan sokongan parti itu kepada calon BN Zakaria Hanafi di Semeyih cukup jelas.

"Itulah (maksud) sokongan berbeza (kempen dengan lebih hebat lagi)," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ceramah di Sungai Purun, Semenyih, malam tadi.

Turut serta pada sesi ceramah itu Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS akan menyokong PH pada PRK Semenyih.

Ia selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bertemu Dr Mahathir di pejabat perdana menteri itu di Yayasan Al-Bukhari, Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu.

Mahathir kemudian mendakwa Abdul Hadi memberitahunya PAS tidak akan menyokong Umno pada PRK DUN Semenyih.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh pemimpin PAS yang mendakwa sokongan parti itu kepada Umno dan BN tidak pernah berubah.

Menjelaskan pertemuan itu, Abdul Hadi berkata PRK Semenyih berbeza dengan pilihan raya kecil Cameron Highlands kerana faktor parti yang bertanding.

"Cuma lainnya Semenyih ini lain daripada Cameron. Di Cameron PAS lawan DAP.

"Di Semenyih ini, bukan (nak cakap) perkauman, tapi pertembungan antara Melayu dengan Melayu," jelasnya.

Kemungkinan Hadi di luar negara

Nasrudin ketika ditanya ssekiranya presiden PAS akan turun berkempen pada saat-saat akhir, bekas MP Temerloh itu berkata ia tidak dapat dipastikan.

"Tok guru (Abdul Hadi) tak tahu lagi sebab kemungkinan beliau di luar negara, tetapi pimpinan lain seperti timbalan presiden dan naib presiden sudah turun," katanya lagi.

Dalam pada itu Nasrudin berkata, serangan PH terhadap parti berkenaan disebabkan parti itu kini menjalinkan kerjasama dengan BN.

Katanya kerjasama yang terjalin itu dilakukan demi agama dan negara akan menggerunkan Pakatan Harapan (PH) kerana ia bakal menjadi kuasa baru politik negara.

Sementara itu, pada majlis ceramah sama, ketua pemuda Umno mendesak pihak berkuasa khususnya Peguam Negara Thommy Thomas segera bertindak terhadap individu yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Kata Asyraf, Pemuda Umno dan PAS akan mengerahkan orang ramai untuk turun berhimpun sekiranya isu sensitif itu gagal ditangani oleh pihak kerajaan.

Malah katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menjadikan Putrajaya sebagai lokasi himpunan bantahan itu.

"Kita mahu ia (pendakwaan) disegerakan, ini membabitkan kepentingan nasional dan ini perkara amat serius.

"Emosi rakyat, emosi umat Islam terkesan, sebab itu Pemuda Umno dan PAS buat kenyataan tegas. Penghinaan terhadap Nabi Muhammad adalah isu besar dan bukan main-main," katanya.

Bagaimanapun, pada 19 Februari lalu, pasukan keselamatan telah bertindak apabila polis menangkap seorang lelaki berusia 68 tahun yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW melalui hantaran Facebook.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun pada 24 Februari lalu dilaporkan berkata tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Katanya, ia membabitkan tiga pemilik akaun Facebook, iaitu Foo Sing Wai, 68; Sarkar Tanesan, 21; dan Sally Yen.