Skip to main
Logo Malaysiakini

Jika PH laksana semua janji pun belum tentu saya sokong - Ibrahim Ali

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Presiden NGO Perkasa Ibrahim Ali berkata penolakannya terhadap PH adalah demi kepentingan agama dan bangsa, bukan semata-mata atas faktor manifesto yang gagal ditunaikan.

Katanya, biarpun PH berjaya menunaikan semua manifesto yang dijanjikannya pada PRU14, beliau tidak akan sekali-kali menyokong pakatan tersebut yang didakwanya berbahaya kepada orang Melayu dan agama Islam.

“Katakanlah PH (berjaya) menunaikan 100 peratus segala janji dalam manifestonya. Turun minyak, turun petrol, belum tentu Ibrahim Ali akan sokong mereka. Sebab apa? Saya bukan kisah soal minyak, petrol, dan harga gula!

“Kita memang nak ringankan beban rakyat, itu (sudah menjadi) tanggungjawab kita, tapi pada masa yang sama, yang paling penting pada saya, bumi ini bumi kita. Jangan bumi kita dipijak orang!” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi ceramah Perkasa di bilik gerakan BN di Kampung Baru Pasir, pusat daerah mengundi (PDM) Ulu Semenyih malam tadi.

Turut hadir berceramah pada majlis itu ialah Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali dan Naib Presiden Perkasa Hassan Basri Muhammad.

Kata Ibrahim lagi, apa yang diramalkan pada PRU-14 sekiranya PH mentadbir kerajaan akhirnya benar-benar berlaku, apabila orang Melayu kini katanya seperti ‘menang sorak kampung tergadai’.

Padan muka

“Bila baca PH punya janji bukan main seronok lagi orang Melayu. Umno pun tipu Umno, orang Umno pun pangkah pembangkang. Padan dengan muka, (mendengar) bunyi guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.

“Nah sekarang apa jadi? Apa jadi? Dulu ada pemimpin macam Ibrahim Ali taknak sokong. Pasal apa? (Sebab) Saya tak ada jawatan, saya bukan menteri,” katanya disambut sorakan kira-kira seratus penonton yang hadir.

Ibrahim turut mengimbau perjuangannya dalam Perkasa beberapa tahun kebelakangan ini. Dakwanya, hanya Perkasa yang berani ke hadapan mempertahankan agama berbanding pihak-pihak lain.

Terkencing dengar

“Lima enam tahun dahulu, 12 tempat orang baling kepala babi dalam masjid, siapa pergi buat laporan polis kalau tidak Perkasa? 

"Di Johor, Bukit Mertajam, Selangor dan Wilayah (Persekutuan), orang persoalkan azan masjid, orang persoalkan peruntukan masjid, macam-macam orang buat. Berpuluh, bertimbun dah laporan polis (oleh Perkasa), orang lain buat apa?

“Tapi orang lain juga yang hebatnya. Tak apa, saya sedikit pun tak kecewa. Sebab saya tahu apa yang saya buat. Saya tahu pendirian saya.

“Insya-Allah, saya rasa, perbicaraan saya di Padang Masyar nanti bila bertemu dengan Rabbul Jalil, antara perbicaraan yang paling pendek, saya yakin, dan terus masuk syurga, Insya-Allah, tolong doa ya,” jelasnya lagi.

Ibrahim turut tidak melepaskan peluang mengecam calon PH Muhammad Aiman Zainali ekoran janji yang dibuatnya dalam satu acara kempen beberapa hari lalu.

Aiman ketika itu memberikan kenyataan berbunyi “2 haribulan kita menang, 3 haribulan saya selesaikan semua masalah”.

Kata Ibrahim, Aiman ‘belajar’ daripada pemimpin-pemimpin lama dalam PH untuk menabur janji seperti itu.

“Budak Aiman ni pun, nak jadi wakil rakyat, Allah lailahaillallah. Ada orang hantar link pada saya, dia (Aiman) bercakap Muhyiddin (Yassin) duduk di sebelah. ‘Hari ni saya menang, esok saya selesai masalah!

“Taubat saya terkencing (dengar). Terkencing saya! Sebab saya tahu 3 haribulan hari Ahad!” katanya disambut gelak ketawa hadirin yang mendengar.

“Dia bercakap dia tengok ke (arah) Muhyiddin, Muyiddin pula, macam buah belimbing masam muka Muhyiddin,” katanya lagi sambil mengajuk reaksi muka Muhyiddin Yassin seperti yang dilihatnya dalam video yang ditontonnya.