Anwar mahu kes cabar Akta MKN dirujuk ke Mahkamah Persekutuan
Presiden PKR merangkap Anggota Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim mahu supaya dua soalan mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa permohonannya itu dibuat di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk rujukan mengenai soal perlembagaan oleh Mahkamah Tinggi.
MKN yang diluluskan parlimen secara kontroversi merupakan salah satu undang-undang yang tidak pernah diberi perkenan oleh Yang di Pertuan Agong tetapi tetap menjadi undang-undang selepas 30 hari.
Selain Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, peguam J Leela turut mewakili Anwar.
Peguam Kanan Persetukuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Nordin Hassan bahawa pihak kerajaan tidak mempunyai bantahan.
Dengan ini, Nordin menetapkan 14 Mac depan untuk mahkamah memberikan keputusan sama ada untuk membenarkan pemindahan atau mendengar dan memutuskan persoalan itu.
Adakah MKN langgar perlembagaan?
Anwar memfailkan saman pemula pada bulan Ogos 2016 yang bertujuan untuk mengisytiharkan Akta MKN 2016 sebagai melanggar perlembagaan dan mahukan perintah injunksi untuk menghalang MKN daripada menjalankan kuasanya di bawah undang-undang yang sedang menunggu keputusan mahkamah.
Dalam permohonannya difailkan sehari selepas Akta MKN menjadi undang-undang itu, Anwar memohon pindaan perlembagaan 1993 yang dimasukkan pada tahun yang sama diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan.
Peruntukan tersebut menyatakan bahawa jika Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan terhadap sesuatu rang undang-undang dalam tempoh 30 hari, maka ia secara automatik menjadi undang-undang.
Permohonan Anwar di mahkamah tinggi untuk mencabar Akta MKN telah ditolak dan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 14 Mac tahun lalu mengembalikan keputusan itu kepada mahkamah tinggi.
Dua soalan yang ingin diputuskan adalah: -
- Adakah peruntukan undang-undang bertulis yang berikut iaitu Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984, dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994 adalah melanggar perlembagaan, batal dan tidak sah dan tidak memiliki kuasa, dengan alasan ia melanggar struktur asas Perlembagaan Persekutuan?
- Adakah Akta MKN 2016 melanggar perlembagaan, batal dan tidak sah serta tidak memiliki kuasa?
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 14 Mac untuk memutuskan sama ada ia akan mendengar saman pemula yang difailkan oleh Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisytiharkan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 melanggar perlembagaan, atau memindahkan kes itu ke Mahkamah Persekutuan.
Hakim Datuk Nordin Hassan berkata beliau akan meneliti persoalan undang-undang untuk mengkaji perkara itu dan mempertimbangkan sama ada perkara itu perlu dikembalikan ke Mahkamah Persekutuian untuk mendengarnya atau kekal di Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar yang juga Presiden PKR berkata pemohon memohon untuk memindahkan kes ke Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan mengenai persoalan perlembagaan.
Sri Ram berkata permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Kedua-dua persoalan perlenbagaan itu ialah sama ada peruntukan undang-undang bertulis yang berikut adalah melanggar perlembagaan, batal dan tidak sah iaitu Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, Sweksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994, atas alasan bahawa ia melanggar struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan sama ada Akta MKN 2016 melanggar perlembagaan, tidak sah dan batal serta tidak berkesan.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili MKN memberitahu mahkamah bahawa pihak responden tidak membantah permohonan itu.
Anwar memfailkan saman pemula untuk mencabar kesahan MKN daripada segi perlembagaan tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan bahawa saman itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Persekutuan kerana ia melibatkan kompetensi perundangan oleh Parlimen.
Akta MKN berkuatkuasa pada 1 Ogos, 2016.
Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa prosiding untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah, hendaklah difailkan di Mahkamah Persekutuan dengan cara mendapatkan kebenaran daripada hakim Mahkamah Persekutuan.
Anwar gagal dalam rayuannya di mahkamah rayuan yang menolaknya pada 6 Nov, 2017. Pada Mac, 2018, Mahkamah Persekutuan membenarkannya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Pada 13 Nov, 2018, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Anwar dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit.
Dalam saman pemula yang difailkan pada 2 Ogos, 2016, Anwar mendakwa bahawa pelaksanaan Akta MKN 2016 adalah melanggar perlembagaan, tidak sah dan batal. Beliau menamakan MKN sebagai defendan pertama dan kerajaan, sebagai defendan kedua.
Beliau memohon untuk mengisytiharkan Akta MKN melanggar perlembagaan dalam usaha mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan terhadap mana-mana undang-undang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai