Skip to main
Logo Malaysiakini

Ummah ajak demo lagi

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menganjurkan perhimpunan seluruh negara Jumaat ini bagi menyatakan bantahan terhadap beberapa pihak yang menghina Nabi Muhammad.

Ummah pusat akan terlibat secara langsung di Masjid Negara selepas solat Jumaat, kata Pengerusi Kluster Belia Ummah Muhammad Faizzuddin Mohd Zai.

“Himpunan pada hari Jumaat ini adalah penting bagi memberikan amaran kepada pihak yang melakukan provokasi ke atas umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan menarik perhatian pihak kerajaan supaya mengambil berat isu ini dan tidak membiarkan agama Islam dihina begitu sahaja,” katanya.

Setakat ini dua orang telah diheret ke mahkamah atas tuduhan menghina Nabi Muhammad melalui penyiaran karikatur di media sosial.

Dalam kenyataan hari ini, Faizzuddin berkata perhimpunan itu juga bagi memberikan sokongan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan pesalah hukuman setimpal.

“PDRM mestilah memastikan rule of law berjalan tanpa ada pihak luar yang campur tangan dan memastikan undang-undang sedia ada mampu mengawal jenayah ini serta menjamin ketenteraman awam sama ada daripada pihak yang melakukan provokasi atau umat Islam itu sendiri,” katanya.

Ummah ialah tulang belakang yang menggerakkan demonstrasi besar menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada Disember tahun lalu.