36 titik panas dikesan di Sabah sepanjang Februari - JAS
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah mengesan sebanyak 36 titik panas sepanjang Februari berikutan cuaca panas dan kekurangan hujan selain aktiviti pembakaran terbuka tidak terkawal oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengarahnya Tunku Khalkausar Tunku Fathahi berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak 500 peratus berbanding hanya tujuh titik panas direkodkan sepanjang Januari di bahagian Pedalaman, Pantai Barat Sabah dan Kudat.
"Punca peningkatan titik panas ini antara lain disebabkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti pembukaan dan pembersihan kawasan tanah dengan melakukan pembakaran terbuka.
"Pembakaran tidak terkawal ini menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan sekeliling termasuk hutan simpan," katanya kepada Bernama, hari ini.
Tunku Khalkausar berkata sepanjang minggu ini sahaja, sebanyak sembilan titik panas dikesan masing-masing di Keningau (tiga titik panas), Kota Belud (dua titik panas), Papar (dua titik panas) serta satu titik panas dikesan di Beaufort dan Tawau.
Pembakaran terbuka cepat merebak
Beliau turut meminta kerjasama semua pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan kekurangan hujan dialami ketika ini kerana dikhuatiri ia akan merebak seterusnya menjejaskan kualiti udara setempat.
Kerjasama semua pihak juga amat diperlukan untuk menjaga tanah masing-masing supaya tidak terbakar selain membantu memadamkan kebakaran kecil supaya tidak merebak ke kawasan lain, katanya.
Tunku Khalkausar berkata JAS Sabah akan terus memantau kualiti udara di lima stesen seluruh negeri, dan menurutnya, tiga stesen kualiti udara iaitu Kota Kinabalu, Kimanis dan Keningau mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara pada tahap sederhana sepanjang pertengahan Januari sehingga hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata sebanyak 494 kes kebakaran terbuka direkodkan jabatan itu sepanjang Februari, iaitu peningkatan sebanyak 304 kes berbanding hanya 190 kes dicatat pada Januari.
Beliau berkata kes kebakaran terbuka di kawasan belukar mencatat rekod tertinggi iaitu sebanyak 317 kes diikuti kebakaran hutan (131 kes), kebun kecil (22 kes), tapak pelupusan sampah dan pembakaran sampah (18 kes), sawah padi (lima kes) dan satu kes kebakaran ladang.
Kes paling tinggi
Kamarulzaman berkata Tuaran merupakan antara lapan daerah di Sabah merekodkan kes kebakaran terbuka paling tinggi sepanjang bulan ini iaitu sebanyak 75 kes diikuti Kota Kinabalu (69 kes), Keningau (55 kes), Kota Belud (45 kes), Kimanis (39 kes), Papar (36 kes), Penampang (27 kes) dan Beaufort (25 kes).
"Pegawai dan anggota bomba terus bersiap sedia termasuk daripada aspek jentera serta peralatan memandangkan kes kebakaran terbuka semakin banyak dan dalam tempoh dua minggu ini sahaja jumlahnya semakin meningkat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Azemi Daud berkata, keadaan cuaca panas dan kekurangan hujan di Sabah sekarang dijangka berterusan sehingga Mac, kecuali di beberapa bahagian seperti Kudat, Sandakan dan Tawau yang dijangka boleh berterusan sehingga April.
Suhu maksimum semasa di Sabah ketika ini ialah 33 darjah Celsius iaitu normal dan tiada fenomena gelombang haba berlaku hingga kini, katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai